Kerajaan memerlukan polisi yang lebih komprehensif mengenai pengambilan dan kemasukan pekerja asing supaya masalah berkaitan status dan hak asasi mereka dapat diselesaikan, kata pengarah Tenaganita Irene Fernandez.

"Kita perlukan arahan dan peraturan yang lebih jelas dan telus," katanya selepas penyerahan memorandum Hak Menuntut Keadilan oleh pekerja asing kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), hari ini.

Memorandum dari Tenaganita itu diterima oleh pesuruhjaya Suhakam, Datuk Dr Salleh Mohd Noh dan Prof Mehrun Siraj.

Menurut Irene, masalah ini tidak boleh dipandang ringan kerana Malaysia terpaksa bergantung kepada pekerja asing dalam industri yang memerlukan tenaga buruh kasar.

Dalam memorandum itu, Tenaganita mendakwa pekerja asing dinafikan hak mereka mendapat keadilan dan pampasan.

Ia juga mendakwa, antara Januari dan Ogos tahun ini, Tenaganita mengendalikan lebih 216 kes melibatkan 542 pengadu, termasuk kes pekerja asing dibuang kerja tanpa mengikut prosedur, tuntutan gaji, penganiayaan majikan, permit kerja tidak diperbaharui, diskriminasi dan penipuan oleh agen.

Kes di mahkamah

Tenaganita juga mendakwa terdapat 148 pekerja asing yang tidak dapat pulang kerana menunggu kes mereka yang belum selesai didengar di Mahkamah Buruh dan Mahkamah Industri.

"Apabila Jabatan Imigresen menaikkan bayaran melanjutkan pas khas bulanan, dari RM20 kepada RM100 sebulan, ramai antara mereka berada dalam keadaan tersepit," katanya.

Pas khas itu dikeluarkan kepada pekerja asing yang menunggu kes mahkamah selesai apabila permit kerja mereka tamat tempoh. Bagaimanapun, mereka dilarang mencari pekerjaan lain.

"Difahamkan larangan itu telah menjadi dasar Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen. Mereka dilarang mendapat pekerjaan selain yang dinyatakan dalam permit. Jika mahu mendapatkan permit baru, mereka perlu pulang dan membuat permohonan baru di negara mereka. Tetapi mereka tidak boleh pulang kerana kes (di Malaysia) belum selesai," katanya.

Selain itu, Irene juga menegaskan terdapat beberapa kes pekerja asing yang ditahan kerana polis mendakwa pas khas yang mereka miliki itu tidak 'diiktiraf'.

Menurutnya, seseorang pekerja asing yang menfailkan kes mereka di mahkamah terpaksa menunggu sekurang-kurangnya enam bulan sebelum ia selesai.

Siasatan terperinci

Sementara itu, Salleh berkata, Suhakam akan mengkaji dan menjalankan siasatan secara terperinci terhadap kandungan memorandum itu.

"Seperti juga aduan berkaitan hak asasi manusia, kita (Suhakam) akan menjalankan siasatan yang sepatutnya terhadap memorandum ini," katanya.

Hampir 40 pekerja asing rakyat Bangladesh, Pakistan dan India turut hadir semasa penyerahan memorandum itu.