Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada dalam senarai BN dan PN, nasib Musa timbul tanda tanya

Musa Aman dilihat merupakan pencetus kepada pilihan raya negeri Sabah, namun apakah bekas ketua menteri Sabah itu akan bertanding di mana-mana kerusi masih menjadi misteri.

Walaupun Musa sebelum ini membayangkan beliau berminat untuk bertanding di kerusi Dun Manila, BN dan Perikatan Nasional (PN) hari ini telah pun mengumumkan senarai calon mereka.

Pernah menjadi 'panglima perang' Umno yang boleh menentukan kerusinya sendiri, Musa kini bergelut untuk mencari parti yang sedia menerimanya.

Secara teknikal, Musa masih merupakan ahli Umno, tetapi kesetiaannya kepada parti itu tidak jelas sejak pilihan raya umum (PRU) 2018. 

Malah dia juga bertelagah dengan penggantinya Bung Moktar Radin yang kini menerajui Umno Sabah.

Bung hari ini mengumumkan bahawa Umno sebaliknya akan meletakkan Mokran Ingkat sebagai calon parti itu di Sungai Manila.

Pengerusi Umno Sabah itu juga mengumumkan Mohamad Hamsan Awang Supian sebagai calon Sungai Sibuga, kerusi yang disandang Musa sejak 1994.

Bung, yang bertanding di kerusi Lamag dan merupakan calon ketua menteri, mendakwa Musa tidak pernah meminta untuk bertanding di kerusi di bawah BN.

Ketika Umno mengumumkan 31 calonnya untuk pilihan raya Sabah di Kota Kinabalu pagi ini, Musa berada di seberang Laut China Selatan.

"Musa tidak berada di Kota Kinabalu, dia masih di Kuala Lumpur," kata satu sumber yang merupakan pemimpin kanan Umno Sabah kepada Malaysiakini.

Usaha menghubungi Musa berulangkali gagal untuk mendapatkan respons beliau.

Tidak jelas apa yang dilakukan Musa di Semenanjung hari ketika BN dan PN mengumumkan calon mereka di Sabah, namun hubungannya dengan Putrajaya sememangnya diketahui..

Timbul spekulasi bahawa Musa mungkin beralih kepada PN untuk dipilih sebagai calon tetapi perkara itu tidak berlaku apabila Bersatu mengumumkan 29 calon mereka hari ini.

Bersatu tidak mengumumkan akan bertanding di Sungai Sibuga atau Sungai Manila, yang dilihat cubaan untuk mengelakkan pertikaian dengan Umno.

Bagaimanapun, pesuruhjaya PAS Sabah Mohd Aminuddin Aling berkata kepada Malaysiakini bahawa pengumuman  Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor hari ini tidak semestinya muktamad.

Beliau berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden Bersatu, akan mengunjungi Sabah hari ini dan lebih banyak pengumuman mungkin dibuat.

PAS sendiri tiada dalam senarai pengumuman PN hari ini dan menegaskan bahawa pengumuman Muhyiddin esok akan menjadi penentu.

Ini mungkin memberikan harapan yang cerah buat Musa sekiranya dia mendapatkan campur tangan kepimpinan Bersatu di peringkat persekutuan.

Bagaimanapun Bersatu harus mempertimbangkan pilihannya kerana pengumuman pada saat-saat akhir yang memihak kepada Musa di Sungai Manila akan menyebabkan parti itu bertembung dengan Umno.

Musa, yang merupakan ketua menteri Sabah yang paling lama berkhidmat, memiliki pilihan yang terhad jika BN mahupun PN tidak menerimanya.

Pada masa ini, parti-parti yang disahkan akan bertanding di bawah tiket BN ialah Umno, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan MCA manakala Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku (Sta)r dan Parti Progresif Sabah (SAPP) akan bertanding di bawah PN.  Kedudukan PAS masih belum jelas.

Sekiranya Musa tidak dapat memperoleh tiket dari mana-mana gabungan, dia mungkin perlu beralih kepada parti yang lebih kecil atau bertanding sebagai calon bebas.

Lawannya iaitu Warisan, Pakatan Harapan dan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) bukan merupakan pilihan buat Musa.

Pilihan yang ada bagi Musa adalah Parti Cinta Sabah (PCS), yang dipimpin oleh adiknya Anifah Aman.

Bagaimanapun Anifah hari ini mengumumkan PCS akan bertanding di 73 kerusi di Sabah dan Musa tiada dalam senarai calon.

Musa, salah seorang tokoh paling berpengaruh dalam politik Sabah, kini kesuntukan masa dan pilihan.

Sama ada dia kekal sebagai pemain utama dalam politik Sabah akan diketahui pada 12 Sept, apabila parti-parti itu secara rasmi meletakkan calon mereka.

Pada 29 Julai lalu, Musa mengumumkan bahawa dia memperolehi cukup sokongan untuk mengambil alih kerajaan Sabah dan berusaha mengangkat dirinya sebagai ketua menteri.

Bagaimanapun usaha itu gagal selepas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin bersetuju dengan permintaan Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal untuk membubarkan DUN, sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya negeri pada 26 September.

Ini merupakan tamparan kedua bagi Musa, yang gabungan memperoleh majoriti tipis pada pilihan raya umum 2018 namun ditumbangkan oleh Shafie, yang merupakan presiden Warisan.

Lihat Komen
ADS