Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kita tawar Hajiji sebagai calon KM Sabah - Muhyiddin

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mencadangkan bahawa Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Noor dilantik sebagai ketua menteri Sabah jika Perikatan Nasional dan sekutunya yang kini digelar Gabungan Rakyat Sabah berjaya menawan negeri itu daripada parti Warisan atau gabungan Warisan Plus.

Walau bagaimanapun, kata perdana menteri, bahawa keputusan itu perlu dipersetujui daripada sekutu-sekutu Bersatu.

“Mana nak tahu, kalau rakan-rakan kita di PN, BN pun bersetuju, yang terbaik nak kita tawarkan sebagai calon untuk meminpin negeri Sabah, tidak lain tidak ialah Hajiji.

“Ini juga memerlukan persetujuan dari sekutu Bersatu,” katanya di pekarangan Ibu Pejabat Bersatu Tuaran sambil disambut sorakan dan tepukan daripada orang ramai.

Hajiji sebelum itu, turut hadir mengiringi Muhyiddin dan mereka kemudiannya bergerak ke pusat penamaan calon di dewan Seri Sulaman.

Sulaman adalah satu daripada tiga kerusi DUN di parlimen Tuaran. Kerusi lain adalah Kiulu dan Tamparuli.

Hajiji, telah mewakili Sulaman sejak 1990 di bawah logo BN dan ini kali pertama dia bertanding di bawah bendera PN.

Hajiji, ketika ditanya mengenai sokongan Muhyiddin terhadapnya sebagai calon ketua menteri, berkata bahawa rundingan akan dilakukan bersama rakan-rakan Bersatu.

“Saya tidak dimaklumkan secara khusus dan rasmi. Apa-apa pun kita dengan parti rakan Umno, BN dan juga PBS serta Perikatan Nasional akan menyelesaikan isu ini apaibla tiba masanya,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan menerima jawatan itu jika ditawarkan, Hajiji membalas "pastinya" dia akan menerimanya.

Pada PRN Sabah ini, Hajiji, 65, akan dicabar calon Warisan Plus Aliasgar @ Ali Ashgar Basri dan calon Parti Cinta Sabah (PCS), Rekan Hussien.

Selain Bersatu, STAR dan SAPP juga bertanding di bawah logo PN. Sementara, Umno, PBRS dan MCA bertanding di bawah logo BN.

Kedua-dua gabungan itu pula bersekutu dengan PBS yang bertanding di bawah logo sendiri.

Muhyiddin hari ini juga mengumukan bahawa mereka bersetuju membentuk Gabungan Rakyat Sabah.

BN sebelum ini menamakan Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin, yang bertanding di kerusi DUN Lamag sebagai calon ketua menteri mereka.

Peluang Bung dan Hajiji untuk menjadi ketua menteri bergantung kepada siapa yang mampu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya Sabah nanti.

Umno bertanding di 31 kerusi sementara Bersatu bertanding di 19 kerusi.

Proses pencalonan selesai pagi ini dan pengundian akan berlangsung pada 26 September.

Lihat Komen
ADS