Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan hari ini bahawa menantunya, Khairy Jamaluddin, tidak menjadi penasihat yang mempengaruhinya dalam urusan pentadbiran negara seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa beliau tidak boleh mengelak daripada berdepan dengan pelbagai pihak yang cuba mempengaruhinya, namun segala keputusan dibuatnya sendiri, setelah memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara.

"Menantu saya bukan penasihat saya. Dulu dia bekerja dengan saya. Mungkin sebagai pekerja di bawah saya, tentulah dia terlibat untuk membuat analisis dan memberi pandangan berhubung macam-macam perkara.

"Sekarang dia tak bekerja lagi dengan saya. Dia sudah berhenti, dia tahu orang bising sangat. Dia tak kena mengena lagi. Jadi apa (kenapa) tuduhan-tuduhan itu dibuat," katanya.

Perdana Menteri ditanya tentang dakwaan beliau dipengaruhi oleh pihak lain, termasuk Khairy, dalam mentadbir negara, pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-100 hari ini.

Khairy, 30, mula berkhidmat dengan Abdullah pada 1999 sebagai penulis ucapan dan kemudian dilantik sebagai pegawai khas sewaktu Abdullah menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri merangkap pengarah Bahagian Polisi dan Komunikasi, pada Jun 2004.

Ditanya sama ada beliau terguris dengan cakap-cakap seumpama itu, Abdullah berkata: "Saya dengar macam-macam orang cakap. Kita pun ada perasaan, kadang-kadang kita rasa sedih juga, bila macam-macam keluar. Tapi saya dapat mengawal diri."

Sentiasa tenang

Perdana Menteri bagaimanapun berkata beliau tidak akan membiarkan dirinya dipengaruhi sehingga wujud keadaan kelam-kabut yang membuatkannya susah hati dan seterusnya menjejaskan kerja beliau.

Katanya, beliau bekerja dengan suara hati yang jelas dan membuatkan orang melihat beliau sentiasa tenang.

"Saya tak buat keputusan untuk ambil harta orang, saya tak buat keputusan untuk menyusahkan orang. Saya buat keputusan apa yang saya fikir baik," jelas Abdullah.

Sambil berkata beliau mendengar pandangan pelbagai pihak, Abdullah mengakui biasa mendengar pandangan Khairy, umpamanya, berhubung pemikiran dan pandangan Pergerakan Pemuda Umno tentang perkara-perkara tertentu. Khairy ialah Naib Ketua Pemuda.

"Itu biasalah, semua orang bercakap dengan saya. Semua orang hendak menasihati perdana menteri, apa yang perdana menteri perlu lakukan," kata Perdana Menteri yang menyenaraikan rakyat, ahli politik dan pihak pembangkang sebagai antara orang yang cuba mempengaruhi beliau.

"Tidak ada perdana menteri yang bebas daripada percubaan pelbagai pihak untuk mempengaruhinya, termasuk mempengaruhi supaya kita terima (luluskan) kontrak dia," katanya.

Niat yang baik

Abdullah menegaskan bahawa walau apa yang berlaku, keputusan mengenai sesuatu perkara itu tetap dibuatnya sendiri.

Beliau menarik perhatian bahawa tidak akan ada seratus peratus orang yang bersetuju dengan keputusan yang diambil kerajaan.

"Asalkan majoriti tahu bahawa kerja dijalankan dengan baik, beserta niat dan tujuan yang baik, hanya kerana negara dan bangsa," kata beliau.

Perdana Menteri berkata menteri-menteri Kabinet juga membuat keputusan mengikut bidangtugas masing-masing dan mereka tidak harus lepas tangan daripada memikul tanggungjawab itu.

Menteri yang lepas tangan dan menyerahkan segala keputusan kepada perdana menteri tidak sepatutnya menjadi menteri, tegas beliau.

"Sayapun kalau serah kepada semua orang untuk buat keputusan, tak payah jadi perdana menteri, buat apa. Baik buat kerja lain. Jadi perdana menteri tak buat apa, hari-hari orang duduk mengata. Buat apa susah-susah," katanya.

Namun, Abdullah menekankan hakikat bahawa beliau berkhidmat dengan sebaik-baiknya dalam menerajui negara ini.

"Saya hendak buat yang itu, hendak buat yang ini. Macam-macam yang saya hendak lakukan. Maka saya gunakan akal saya untuk memikirkan apa yang terbaik," katanya.

Beliau berkata adalah menjadi satu kebetulan jika apa yang difikirkannya menyamai fikiran "bukan seorang tetapi empat lima, 10, 20 orang" lain.

"Bila rakyat senang dengan apa yang kita buat, ertinya rakyat tahulah apa yang kita buat itu memenuhi kehendak mereka," katanya.