Pemuda PAS hantar memo desak polis batalkan forum Artikel 11
Dewan Pemuda PAS hari ini menyerahkan memorandum membantah penganjuran forum hak kebebasan beragama oleh Kumpulan Article 11 di Johor Bahru, kepada Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor.
Dewan Pemuda PAS hari ini menyerahkan memorandum membantah penganjuran forum hak kebebasan beragama oleh Kumpulan Article 11 di Johor Bahru, kepada Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor.
Rombongan Pemuda PAS yang itu diketuai oleh Naib Ketua Pemudanya, Mazlan Alimin menyerahkan memorandum tersebut kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK, ACP Mazlan Ayob di IPK Johor di Jalan Tebrau, Johor Bahru pada jam 11 pagi tadi.
Mazlan memberitahu malaysiakini, memorandum itu bagi mendesak pihak berkuasa membatalkan forum yang akan diadakan di Hotel Selesa, Johor Bahru esok.
"Pemuda PAS mahu pihak polis menggunakan peruntukan Seksyen 27 (4) Akta Polis bagi memnghalang forum tersebut sekalipun ia diadakan di tempat tertutup," jelasnya.
Menurut beliau, di bawah peruntukan tersebut, pihak polis mempunyai kuasa untuk menyekat sebarang perhimpunan atau perjumpaan di tempat tertutup jika majlis itu menimbulkan keresahan dan mengugat ketenteraman awam.
' Timbul keresahan'
Pemuda PAS berpendapat, forum anjuran Kumpulan Article 11 itu boleh menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam selain mengancam keselamatan negara.
Menurutnya, ACP Mazlan yang mewakili Ketua Polis Johor, telah memberi jaminan akan memantau perkembangan dan perjalanan forum itu esok.
Naib Ketua Pemuda PAS itu juga menyatakan jika forum itu diteruskan esok, satu demonstrasi akan diadakan di depan hotel yang menjadi premis forum berkenaan.
"Kita telah menggunakan semua saluran perundingan, termasuk menemui mufti, menghantar memorandam ke pejabat Menteri Besar dan Jabatan Agama Islam Johor serta meminta pengurusan hotel berkenaan membatalkan majlis tersebut.
"Demonstrasi yang dirancang esok adalah jalan terakhir jika semua saluran perundingan gagal menyekat forum itu," katanya lagi.
Bantahan umat Islam
Bantahan terhadap aktiviti Gabungan Article 11 ini adalah yang kedua dalam tempoh tiga bulan ini. Dua bulan lalu, gabungan tersebut terpaksa menghentikan forumnya separuh jalan di Pulau Pinang ekoran arahan pihak polis setelah timbul bantahan hebat umat Islam di negeri itu.
Dalam pada itu, di Johor Baharu sejak beberapa hari lalu satu kumpulan yang menamakan diri mereka Front Bertindak Anti-Murtad (Forkad) telah mengedarkan risalah dan menampal poster serta kain rentang membantah forum anjuran Kumpulan Article 11.
Poster dan risalah Forkad itu menyeru umat Islam keluar membantah forum berkenaan esok.
Sementara itu Jamaah Islah Malaysia (JIM) turut membantah sebarang usaha untuk membolehkan pihak tertentu mencampuri urusan agama Islam.
Presidennya, Zaid Kamaruddin berkata, JIM dan badan-badan Islam lain tidak boleh menerima penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan kewujudan Kumpulan Article 11 yang memperjuangkan hak kebebasan untuk orang yang murtad.
Beliau mahu isu murtad dan hak beragama ini ditangani secara berhemah bagi mengelak sebarang ketegangan agama di kalangan masyarakat negara ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.