Kementerian Pengajian Tinggi berjanji akan melihat dengan teliti setiap muka surat modul baru bagi pengajaran subjek Hubungan Etnik di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPTA) bagi menggantikan buku panduan perptama yang telah ditarikbalik atas arahan Kabinet dua hari lalu.

Modul pengajaran Hubungan Etnik yang digunapakai oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) itu ditarik balik selepas ia menimbulkan kontroversi kerana dilaporkan menyentuh isu seperti insiden 13 Mei dan rusuhan di Kampung Medan.

Beberapa ahli Parlimen membantah penggunaan modul pengajaran itu dengan mendakwa fakta yang terkandung di dalamnya tidak benar. Hubungan Etnik diajar di semua institusi pengajian tinggi awam sebagai kursus wajib pada Sesi 2006/2007.

"Kita akan lihat dengan teliti setiap muka surat (modul baru) dan mengambilkira pandangan jemaah menteri. Setelah panel berkenaan menelitinya, ia akan dikemukakan kepada Kabinet (untuk kelulusan)," kata Menteri berkenaan, Datuk Mustapa Mohamed.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya, beliau bderkata, modul baru itu mempunyai 10 program utama mengenai perlembagaan, dasar ekonomi, Islam dan sebagainya.

Sebelum itu, Mustapa menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian di antara Universiti Nottingham dengan tujuh universiti tempatan Universiti Malaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Guna buku lain

Menurut laporan Bernama, perjanjian itu bagi membolehkan pensyarah universiti tempatan melanjutkan pengajian di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di universiti berkenaan, sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menambah bilangan pensyarah universiti yang memiliki PhD.

Menurut Mustapa lagi, berikutan penarikan balik buku panduan pertama itu, maka pihak universiti menggunakan buku panduan lain bagi mengajar subjek berkenaan.

"Subjek itu diteruskan tetapi pensyarah-pensyarah telah dimaklumkan tentang sensitiviti dalam memberi kuliah," katanya.

Mengulas mengenai pergaduhan pelajar UPM di kafetaria universiti itu Isnin lalu, Mustapa berkata, beliau telah menerima laporan mengenainya dan telah meminta Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi berhubung dengan pihak pentadbiran UPM untuk tindakan lanjut.

"Saya minta agar tindakan segera dapat diambil dan bentuk tindakan itu, saya serahkan kepada universiti," katanya.

Kira-kira 50 pelajar "pro-establishment" bertindak kasar terhadap tujuh pelajar yang merupakan anggota pertubuhan yang dianggap "anti-establishment" pada kejadian Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohd Fuad Talib berkata polis menerima lima laporan daripada pelajar terbabit dan siasatan mendapati kejadian itu tercetus akibat salah faham berhubung satu acara yang dianjurkan oleh pelajar berkenaan.