Seorang bekas pemimpin bahagian MIC membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ahli Dewan Negara Vell Paari berhubung pembelian dua tanah milik koperasi berkaitan parti itu di bawah harga pasaran.
Laporan dibuat bekas ketua bahagian MIC Sungai Siput, M Lokanathan di ibu pejabat SPRM hari ini.
Dia mendakwa dua tanah itu, masing-masing milik Koperasi Pekerja Jaya (KPJ) dan Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah Berhad (NLFCS), dibeli oleh syarikat milik Vell Paari dan keluarganya.
"Kes pertama, sebuah tanah yang kini didirikan bangunan konvensyen di Sungai Siput. Pada asalnya ia milik KPJ tetapi dijual kepada sebuah syarikat milik senator tersebut dengan harga RM100,000 sedangkan nilai sebenarnya lebih RM2 juta.
"Dalam kes kedua, bapa kepada senator ini (bekas presiden MIC S Samy Vellu) membeli seluas 114 ekar di Ladang Dovenby, Sungai Siput milik NLFCS dengan harga RM11,280 seekar berbanding harga pasaran ketika itu adalah RM68,000 dengan alasan nak bina rumah kepada ahli koperasi dan penduduk Sungai Siput.
"Tetapi, kini hak milik tanah itu dipindah milik ke atas syarikat milik keluarga senator tersebut," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan.
Lokanathan merupakan anggota KPJ dan NLFCS.
"Sebelum ini saya pernah lapor SPRM sebanyak dua kali terhadap keluarga senator ini. Tetapi tidak ada tindakan.
"SPRM tidak boleh double standard," katanya lagi.
Vell Paari dalam responsnya menepis dakwaan itu dengan mengatakan Lokanathan telah membuat dakwaan sama sejak 20 tahun lalu.
"Jelas semuanya tak betul. Saya sudah bosan dengan semua ini," kata bekas setiausaha agung MIC itu.
Dia berkata telah menyerahkan perkara itu kepada peguamnya untuk tindakan seterusnya.
"Kemungkinan besar kita akan ambil tindakan berhubung perkara ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
