Malaysiakini
BERITA

Calon Warisan keluar dari bayang-bayang Juhar, Musa

Alyaa Alhadjri

Diterbitkan
Dikemaskini 15 Sep 2020, 12:35 tengahari

PRN SABAH | Peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada Armani Mahiruddin untuk bertanding dalam PRN kali ini akhirnya menjadi peluang kepadanya keluar dari bayang-bayang dua lelaki berpengaruh di Sabah.

Armani merupakan adik kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Juhar Mahiruddin, yang baru-baru ini bersetuju membubarkan DUN negeri itu untuk membolehkan PRN diadakan.

Dalam politik pula Armani merupakan ketua Wanita Umno Libaran selama 20 tahun. Ketua Umno bahagian itu ialah Musa Aman, bekas ketua menteri yang baru-baru ini cuba menjatuhkan kerajaan Mohd Shafie Apdal.

Selain memegang jawatan sebagai Ketua Umno Libaran, Musa merupakan bekas Adun Sungai Sibuga sejak 1994.

"Pada masa itu saya berjawatan sebagai exco Wanita Umno Malaysia, Ketua Wanita Umno Sabah, Pengerusi Wanita BN Sabah dan ketua Wanita bahagian kepada Musa, tapi tidak ada peluang sedikit pun untuk saya menjadi calon.

"Jadi hari ini Datuk Seri Shafie memberi mandat kepada saya, dicalonkan di DUN Sungai Sibuga ini, insya-Allah saya akan menggalas tanggungjawab dan insya-Allah kemenangan berpihak kepada saya," katanya pada sidang media bersama semalam.

Armani, 54, juga yakin dengan pengalamannya dalam politik selama 22 tahun di Libaran, dia tahu benar apa yang diperlukan oleh penduduk setempat.

Pada masa sama dia menegaskan, walaupun DUN Sungai Sibuga sebelum ini diwakili Musa yang juga ketua menteri, masih banyak kekurangan dihadapi penduduk.

Tidak ada kena-mengena 

Misalnya, kata Armani, semasa melawat Kampung Tinusa semalam ada lebih 4,000 pengundi yang berdepan pelbagai masalah seperti jalan berlubang-lubang, tiada lampu jalan dan jalan sesak.

Katanya ramai juga yang belum ada rumah walaupun ada Projek Perumahan Rakyat Termiskin di situ.

Menjadi wanita pertama dilantik sebagai timbalan speaker Dewan Negara sebelum ini, Aramni berkata, pengaruh dan kepimpinan Musa sudah berlalu.

"Saya cukup faham apa rakyat mahu di sini. Saya rasa kepimpinan Tan Sri Musa di sini sudah berlalu. Kekuatan dia pun sudah berlalu.

"Jadi bagi saya tidak ada cabaran. Saya hadapi dengan tenang," katanya ketika ditanya mengenai cabaran yang dihadapi kali ini.

Untuk rekod sebelum hari penamaan calon lebih 20 ketua cawangan Umno dalam bahagian Libaran mendesak agar Musa dipilih menjadi calon di kerusi Sungai Manila.

Armani semasa hari penamaan calon baru-baru ini

Bagaimanapun mereka kemudian menyatakan sokongan kepada calon pilihan Umno Sabah iaitu Mokran Ingkat.

Terdahulu Musa membayangkan dia akan kembali ke Sungai Manila untuk PRN kali ini selepas cubaannya menjatuhkan Mohd Shafie gagal.

Sehingga hari penamaan calon, perhatian tetap tertumpu kepada kelibat Musa dan kemungkinan dia akan hadir sebagai calon bebas apabila namanya tiada dalam senarai BN atau Perikatan Nasional.

Nama Musa juga tidak disenaraikan oleh Parti Cinta Sabah (PCS) yang diketuai adik Musa, Anifah Aman.

Ditanya mengenai tanggapan sesetengah pihak gerak kerjanya dipengaruhi oleh Juhar, Armani dengan tegas menafikannya.

Musa Aman

"Walaupun Tun Juhar itu abang saya, dari segi politik tidak ada kena-mengena. Beliau tidak turut campur.

"Saya dicalonkan oleh Mohd Shafie sendiri, bukan abang saya, jadi tidak ada kena-mengena," katanya.

Armani menyertai Warisan bersama lebih 200 anggota Umno Sandakan pada Mei 2018 iaitu hanya beberapa minggu selepas Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai ketua menteri.

Sehingga kini kata Armani ramai anggota Umno Libaran mengambil langkah sama dan menyambut baik pencalonannya sebagai calon Warisan.

Menurut Armani antara isu yang diketengahkannya dalam berkempen ialah isu pengangguran dalam kalangan generasi muda serta perlunya menaik taraf kemudahan asas di kawasan berkenaan.

"Dari awal lagi mereka cakap, tunggu calon Warisan. Jadi alhamdulillah saya dicalonkan, dan mereka memang sudah kenal siapa saya.

"Ada beberapa cawangan (Umno) yang sudah beralih arah ke Warisan," katanya.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya, DUN Sungai Sibuga merupakan kawasan separa bandar dengan 35,454 pengundi berdaftar dalam 17 pusat mengundi pada 2018.

Bagaimanapun separuh daripada pengundi terbabit kini berada dalam kerusi baru diwujudkan iaitu Sungai Manila.

Armani berdepan cabaran empat calon lain membabitkan pemimpin BN, Parti Liberal Demokratik (LDP), PCS dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.