Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu semalam bahawa empat defenden yang dinamakan oleh bekas pemimpin Parti Komunis Malaysia (KPM) Chin Peng dalam permohonannya untuk pulang ke Malaysia, belum lagi mengemukakan afidavit pembelaan masing-masing.

Berikutan itu, Hakim Datuk Md Raus bin Sharif, menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh baru untuk mendengar permohonan tersebut.

Permohonan Chin Peng supaya dibenarkan pulang ke Malaysia, telah difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 4 Mac tahun lalu.

Empat defenden tersebut ialah Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Ketua Angkatan Tentera. Mereka diwakili oleh dua peguam kanan persekutuan.

Chin Peng pula diwakili oleh peguam Darshan Singh Khaira (foto) dan peguam Chan Kok Keong.

Menurut Chan, Chin Peng telah memfailkan satu lagi permohonan untuk mendapatkan kebenaran sementara bagi menghadiri perbicaraan kesnya di Malaysia. Menurutnya, perjanjian Damai 1989 dengan jelas membenarkan anggota PKM yang tinggal di luar Malaysia, membuat lawatan walaupun mereka bukan warganegara.

Dalam memoir mereka, bekas pemimpin PKM Abdullah CD, Rashid Maidin, Suriani Abdullah aka Eng Ming Ching dan Abu Samah Mohd Kassim menulis mengenai lawatan mereka ke Malaysia pada 1990-an. Ada bekas pemimpin PKM seperti Ibrahim Chik kini tinggal di Malaysia. Terjemahan