Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MEF: Siswazah menganggur sebab majikan tak upaya tawar kerja

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berpendapat punca utama siswazah menganggur adalah kerana ketidakupayaa majikan untuk menawarkan peluang pekerjaan yang terhad pada masa ini, jelas Pengarah Eksekutifnya Dr Shamsuddin Bardan.

Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berhubung punca utama siswazah menganggur, Shamsuddin berkata faktor-faktor yang disebutkan oleh Awang itu hanyalah sebahagian daripada punca pengangguran di kalangan siswazah.

“Tapi yang paling penting sekali adalah ketidakupayaan majikan untuk menawarkan pekerjaan pada masa ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

“Saya merasakan siswazah masa ini perlu lebih realistik dan tak mengharapkan cushy job tapi sanggup turun padang dan dirty your hand untuk kerja, sebagai contoh,” katanya sambil memberi cadangan pekerjaan ekonomi gig boleh menjana pendapatan pada masa ini.

Ijazah bukan lesen kerjaya impian

Ketika menjawab senator Idris Ahmad di Dewan Negara mengenai statistik dan data mengenai pengangguran di kalangan siswazah, Awang berkata antara punca utama mereka gagal mendapat pekerjaan setelah tamat pengajian kerana terlalu memilih lokasi tertentu untuk memohon pekerjaan dan mempunyai kemahiran insani yang rendah.

Meskipun melihat memperolehi segulung ijazah bukanlah satu pembaziran, tetapi Shamsuddin berkata kini kelulusan bukanlah semata-mata lesen memberikan pekerjaan yang diimpikan.

“Itu adalah satu yang hakikat. Walaupun anda ada ijazah, tak semestinya anda akan mendapat pekerjaan yang sesuai dengan ijazah,” katanya.

Ini kerana menurutnya, sekiranya terdapat pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka, pekerjaan tersebut untuk tempoh sementara dan bukannya tetap.

“Saya merasakan pada masa ini market condition yang tidak mengizinkan.

“Saya rasa pihak universiti dah lakukan apa yang mereka terdaya dan saya rasakan adalah lebih elok universiti berikan sesuatu yang lebih realistik kepada para pelajar, yang mengatakan peluang pekerjaan memang terhad dan menawarkan sebarang income adalah gig economy sebenarnya buat masa ini,” katanya.

Berdasarkan Laporan Statistik Siswazah 2016, jumlah siswazah menganggur pada 2016 ialah seramai 145,800 orang atau empat peratus sementara pada 2017 seramai 154,500 orang (4 peratus); seramai 161,300 orang (3.9 peratus) pada 2018 dan 170,300 orang (3.9 peratus ) pada tahun lepas.

Lihat Komen
ADS