Forum 'Hak Kebebasan Beragama' anjuran Kumpulan Article 11 di Johor Bharu pagi ini diteruskan seperti dijadualkan dengan kawalan ketat pihak polis berikutan kumpulan anti-murtad mengadakan tunjuk perasaan di hadapan hotel tempat forum itu diadakan.

Lebih 100 orang meghadiri forum berkenaan manakala kira-kira 350 orang penunjuk perasaan berkumpul di hadapan hotel Selesa dengan membawa kain pemidang dan poster mengecam Kumpulan Article 11 dan mengutuk forum tersebut.

Mereka melaung-laungkan slogan anti-murtad seperti 'Jahanam IFC', 'Hancur, Hancur IFC" dan 'Pertahankan Islam' serta 'Allahhuakbar'.

Menurut wartawan malaysiakini yang berada di lokasi, Ketua Polis daerah Johor Selatan memberi kebenaran forum itu dijalankan sehingga jam 11.30 pagi. Mengikut jadual asalnya, program itu akan berjalan dari 9 hingga 1 tengah hari.

Demonstrasi itu dianjurkan oleh Front Bertindak Anti-Murtad (Forkad) yang dianggotai oleh beberapa pertubuhan Islam termasuk PAS.

Anggota polis berpakaian seragam dan berpakaian biasa berada di sekeliling kawasan dalam dan luar hotel. Para peserta diperiksa dengan rapi sebelum dibenarkan menyertai forum berkenaan.