Lebih 200 sambut kepulangan Dr M pagi ini
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di tanahair pagi ini dengan disambut oleh lebih 200 penyokong yang menunggu ketibaan beliau di Lapangan Terbang Subang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di tanahair pagi ini dengan disambut oleh lebih 200 penyokong yang menunggu ketibaan beliau di Lapangan Terbang Subang.
Mereka membawa enam kain pemidang sebagai tanda sokongan terhadap bekas Perdana Menteri itu yang menjadi pengkritik kuat pentadbiran sekarang, khususnya dalam isu pembatalan jambatan indah, isu AP serta penjualan MV Agusta.
Satu daripadanya berbunyi: Welcome Home Tun, budak-budak "tu" dah jual banyak harta negara, Dr M tolong kembalikan maruah Malaysia.
Satu lagi kain pemidang berbunyi: TDM, selamatkan Malaysia, hapuskan pengkhianat, agama, bangsa dan negara.
Bagaimanapun, tiada seorang pun pemimpin Umno sekarang yang kelihatan berada di situ untuk menyambut kepulangan Dr Mahathir daripada bercuti di luar negara.
Lamanweb diganggu
Antara yang hadir ialah Pengerusi Majlis Bertindak Rakyat Kelantan (MBRT) Datuk Ibrahim Ali.
Kelab penyokong Dr Mahathir - Gen M - yang menganjurkan majlis tersebut turut mengedarkan baju-T serta VCD rakaman ceramah umum bekas Perdana Menteri itu di Taman Melawat pada 24 Jun lalu.
Jumlah mereka yang hadir menyambut kepulangan Dr Mahathir itu jauh berkurangan daripada anggaran awalnya seramai kira-kira 1,000 orang.
Jurucakap kelab penyokong Dr Mahatahir itu sendiri menjangka 500 orang ahli-ahli kelab berkenaan akan hadir, manakala lainnya diuruskan oleh kumpulan-kumpulan pro-Dr Mahathir yang lain.
Jurucakap itu juga memberitahu lamanweb Gen M yang mempromosi majlis sambutan kepulangan Dr Mahathir telah diganggu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan ia tergendala selama empat jam semalam.
Katanya lagi, beliau juga mendapat panggilan dari para pegawai Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) yang cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai majlis sambutan Dr Mahathir.

