Malaysiakini
BERITA

Sugu dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan belasah Pavithra

Diterbitkan

Mahkamah Sesyen di Ipoh hari ini melepas tanpa membebaskan bekas pekerja ladang M Sugu daripada tuduhan mencederakan isterinya yang juga Youtuber (penggiat YouTube) masakan S Pavithra pada 21 Julai lalu.

Hakim Norashima Khalid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi berikutan Pavithra mengangkat sumpah bagi menarik balik pertuduhan dengan rela tanpa paksaan dan ugutan semasa prosiding itu hari ini.

Terdahulu, peguam Syahrul Nizam Mohd Rabi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah melepas dan membebaskan Sugu kerana saksi utama iaitu pengadu kes itu memaklumkan tidak akan meneruskan kes tersebut.

Bagaimanapun, Liyana Zawani memohon mahkamah untuk melepas tanpa dibebaskan tertuduh daripada pertuduhan, mengambil kira kemungkinan pihak pendakwaan mempunyai keperluan atau sebab yang kukuh untuk menuduh semula kes berkenaan.

Sugu, 29, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan di bahagian bibir, pipi sebelah kiri dan lengan kanan isterinya menggunakan telefon bimbit serta hulu sabit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kenderaan Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, antara 4 hingga 6 petang, 21 Julai lalu.

Sugu turut didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 66 sentimeter kira-kira 6 petang pada tempat dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan berkenaan, pihak pembelaan memberitahu akan menghantar surat permohonan representasi kepada pihak pendakwaan untuk mengkaji semula status kes dan meneliti semula pertuduhan terhadap Sugu.

Mahkamah menetapkan 22 Okt depan sebagai sebutan semula kes untuk jawapan representasi.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.