Kes rasuah MB Selangor: Lutfi buat laporan kedua
Aktivis media, Ahmad Lutfi Othman membuat satu lagi aduan rasmi kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, hari ini.
Aktivis media, Ahmad Lutfi Othman membuat satu lagi aduan rasmi kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, hari ini.
"Merujuk kepada apa yang dilaporkan oleh akhbar utama pada Ahad lepas, saya sedia membuat aduan rasmi yang baru kepada BPR," katanya.
Menurut Lutfi, beliau tidak mahu alasan kesilapan teknik digunakan oleh BPR untuk tidak menjalankan sebarang siasatan.
Ahad lalu, akhbar Mingguan Malaysia melaporkan BPR sehingga kini masih belum menerima aduan secara rasmi berhubung dakwaan rasuah terhadap menteri besar itu.
"Sumber BPR memberitahu, sebaliknya mereka hanya menerima maklumat berhubung perkara itu, bukan satu laporan rasmi seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak," akhbar itu dipetik.
"Orang ramai jangan terkeliru mengenai perkara ini kerana yang diterima adalah maklumat dan bukannya aduan rasmi," tambah sumber tersebut lagi.
Maklumat baru
Menurut Lutfi, aduan rasminya kali ini akan turut disertakan maklumat-maklumat baru daripada kes yang sudah sedia ada.
Pada 23 Oktober lalu, Lutfi menyerahkan kepada BPR satu laporan mengenai empat dakwaan bahawa Mohd Khir telah menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri besar.
Menurut laporan itu, Mohd Khir didakwa menyerahkan pengendalian projek pembinaan jalanraya sepanjang 20.5km bernilai RM92.5 juta di Sekinchan kepada sebuah "syarikat bermasalah" dan meluluskan permohonan tanah di Shah Alam kepada empat syarikat yang mempunyai pengarah yang sama.
Laporan itu mendakwa, setiap syarikat berkenaan mendapat 100 ekar dan seorang individu yang sama menjadi pengarah dalam kesemua empat syarikat itu, manakala tiga individu lagi menjadi pengarah kepada dua syarikat terbabit.
Lutfi dalam laporannya juga mempertikaikan pemberian tanah negeri kepada empat syarikat, masing-masing memperolehi kira-kira 50 ekar, di mana pengarah setiap syarikat berkenaan, berumur 20 hingga 23 tahun.
Kursus
Sementara itu malaysiakini difahamkan Mohd Khir akan mengadakan satu sesi perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri di Langkawi, Kedah.
Ketika dihubungi malaysiakini , pegawai di pejabat menteri besar mengesahkan Mohd Khir akan menghadiri satu kursus kakitangan kerajaan bersama semua Ahli Undangan Negeri (Adun) dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Menurut pegawai itu, kursus itu berlangsung 9 hingga 12 November ini.
Bagaimanapun, seorang Adun pembangkang Teng Cheng Khim (DAP-Bandar Klang) berkata beliau tidak tahu mengenai kursus berkenaan.
"Saya tidak tahu ada kursus di Langkawi untuk semua Adun dan pegawai kanan negeri," katanya ketika dihubungi pagi tadi.
Menurut sumber, Mohd Khir akan turut mengadakan satu sesi "penjelasan" mengenai aduan rasuah terhadapnya dengan Adun and pegawai yang hadir.

