Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bung jelajah negeri, kempen di kubu sendiri digerakkan ahli keluarga

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin menyerahkan kempen di Lamag, kerusi DUN yang akan ditandinginya, untuk digerakkan oleh ahli keluarganya sementara dia sendiri menjelajah ke serata negeri Sabah berkempen bagi calon-calon BN dan PN yang lain.

DUN Lamag, yang terletak di dalam parlimen Kinabatangan yang diwakilinya sekian lama, membuka kemungkinan untuk ahli politik veteran itu menjadi ketua menteri.

Lamag terletak di pantai timur Sabah, selatan Sandakan, sementara jadual Bung  beberapa hari kebelakangan ini bertumpu di kawasan pantai barat yang sebelum ini menyaksikan saingan sengit.

Di pekan Kinabatangan yang sepi, dikelilingi hutan dan ladang kelapa sawit, aktiviti berkempen untuk 8,236 pengundi di sini dilakukan dengan pendekatan yang lebih bersifat peribadi.

Sebagai contoh, pusat kempen Bung adalah di kediaman abangnya, Md Munkim Radin.

Ia merupakan kawasan tanah yang besar yang dihisasi bendera BN dan poster Bung yang tergantung di sepanjang Jalan Sandakan-Lahad Datu.

Hari ini, agenda utama kempen di situ adalah untuk menyambut sekumpulan jentera kempen dari Umno Bahagian Kuala Krau yang dipimpin oleh Ahli Parlimen Kuala Krau dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said.

Ketika berucap kepada orang ramai, Ismail memberi penghormatan kepada adik perempuan Bung, Sapariah Radin, yang merupakan naib ketua Wanita Umno Kinabatangan yang tinggal tidak jauh dari situ.

Sementara Munkim diberikan tugas untuk strategi kempen, Sapariah pula ditugaskan untuk mengurus kempen untuk daerah mengundi Kota Kinabatangan - yang terbesar daripada enam daerah undi di Lamag.

"Dia (Sapariah) telah digambarkan sebagai jangkar (sauh), betapa pentingnya dia," kata Ismail dalam ucapannya.

Munkim memberitahu Malaysiakini bahawa tiada sebarang masalah untuk berkempen tanpa calon kerana majoriti pengundi Lamag, yang kebanyakannya berasal daripada suku Orang Sungai, sudah mengenali Bung kerana dia adalah merupakan sebahagian di kalangan mereka juga, selain merupakan Ahli Parlimen Kinabatangan selama lima penggal.

Oleh itu, katanya, penyokong memahami bahawa Bung mempunyai tugas lain sebagai pengerusi BN Sabah dan perlu hadiri kempen di tempat lain.

"Dia terpaksa memantau di setiap DUN di Sabah di mana ditandingi BN.

"Jadi bagi kami di sini kami tidak apa kerana kami yang boleh menjalankan amanat menggapai kemenangan Bung ini kali. Tidak ada masalah," katanya.

Md Munkim Radin.

Walaupun reputasi Bung di luar Kinabatangan dilihat sebagai pemimpin yang mempunyai sikap yang kasar, Munkim mengatakan bahawa dia disukai oleh penduduk di kawasan itu dan selalu dikelilingi oleh penyokongnya.

"Cuma ada barangkali masyarakat di sini yang rasa tak selesa dengan Datuk Seri Bung turun padang sebab Datuk Seri Bung ini dia pergi mana-mana dia free hand semua.

"Dia sentiasa dikelilingi orang-orang kuat penyokong dia. Bukan ada jarak tapi penyokong-penyokong tegar dia selalu keliling dia sampai orang susah mahu rapat," kata Munkim.

Lamag adalah kawasan pilihan raya yang luas iaitu 2,142 kilometer persegi, meliputi separuh jumlah purata pengundi kawasan DUN di Sabah.

Bung dijangka tidak mengunjungi kawasannya sehingga beberapa hari terakhir kempen.

Bung akan menentang calon Warisan Mohd Ismail Ayob, Sairin Abdul Rahman (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Razman Mayah (Parti Cinta Sabah) dan calon Bebas Junny @ Karuak Abdullah.

Lihat Komen
ADS