Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak puas hati dengan tahap kecekapan Jabatan Kehakiman Syariah negeri itu kerana terdapat banyak kes perbicaraan yang tertunggak, sesetengahnya memakan masa sehingga bertahun-tahun.

Menurutnya, kes tertunggak dan kelewatan perbicaraan mendatangkan kesusahan kepada mereka yang terbabit. Beliau bagaimanapun tidak menyatakan jumlah kes syariah yang tertunggak di Selangor.

Mohd Khir berkata hakim syarie perlu segera menyelesaikan kes yang dibicarakan untuk membolehkan pihak menuntut dan pihak dituntut meneruskan kehidupan mereka.

Bagaimanapun, katanya, setiap keputusan yang dibuat tidak boleh bersifat terburu-buru dan perlu mengambil kira semua aspek secara holistik agar tidak berlaku sebarang penganiayaan atau penindasan serta sikap berat sebelah.

"Namun, sikap berhati-hati bukanlah alasan untuk kita tidak boleh menambahbaik kecekapan dalam menyelesaikan sesuatu kes," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Undang-undang Keluarga Islam anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.

Menurut laporan Bernama, Dr Mohamad Khir berkata, sudah tiba masanya juga bagi keluarga Islam merujuk ke mahkamah syariah untuk menyelesaikan masalah kekeluargaan yang dihadapi dari mula lagi dan bukan menjadikannya sebagai tempat terakhir untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, kes syariah yang sudah diselesaikan juga wajar dijadikan contoh dalam seminar atau ceramah membabitkan kefahaman Islam untuk memberi pendidikan dan rujukan kepada pengamal undang-undang mahupun orang ramai.