Malaysiakini
BERITA

ULASAN | SPRM perlu jelaskan kewajaran portal Mandarin

Khairil Nizam Khirudin

Diterbitkan
Dikemaskini 19 Sep 2020, 2:23 pagi

Saya ambil maklum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam suatu kenyataan rasmi di laman Facebook berkenaan pelancaran portal bahasa Mandarin.

Usaha ini dikatakan bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina mendapatkan maklumat tentang pencegahan rasuah dan perkara-perkara berkaitan suruhanjaya tersebut.

Saya memandang serius isu ini dan menganggap tindakan berkenaan adalah sangat tidak wajar kerana mengetepikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang sewajibnya difahami oleh seluruh lapisan masyarakat tidak kira Melayu, India, Cina, Kadazan, serta lain-lain bangsa dan suku yang mengaku menjadi warganegara Malaysia.

Perlu diingat penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah dijamin Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 152.(1)(a) yang menyatakan: “Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen dengan syarat bahawa tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain”.

Tindakan mewujudkan portal ini bahkan akan menggalakkan pihak-pihak lain untuk mengikuti langkah yang sama apatah lagi dilakukan oleh sebuah agensi kerajaan.

Apakah SPRM ingin mengatakan bahawa salah laku rasuah yang tinggi berpunca daripada kegagalan memahami portal SPRM dalam bahasa Melayu?

Persoalan ini perlu dijawab oleh SPRM.

Pada masa sama, saya menggesa agar Pindaan Akta DBP 1959 dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang agar peranan badan itu tidak dilihat hanya memberi galakan penggunaan bahasa Melayu semata-mata, sebalikya memberi punca kuasa kepada mereka bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang ingkar terhadap penggunaan bahasa Melayu.

Tidak ada toleransi terhadap tindakan merendahkan martabat bahasa kebangsaan!


KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN ialah ketua Pemuda PAS. Pandangan ini asalnya disiarkan di Facebook Khairil Nizam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.