Satu lagi program bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad disekat, kali ini di Selangor.

Ini merupakan program melibatkan Dr. Mahathir yang kedua disekat dalam tempoh sebulan ini selepas Persatuan Bekas Wakil Rakyat Barisan Nasional (Mubarak) Kelantan membatalkan program bersama bekas Perdana Menteri itu awal bulan ini. Majlis itu sepatutnya diadakan 28 Julai ini.

Program tersebut - 'Majlis Makan Mengenang Jasa Bekas Pemimpin Umno Selangor' sebelum ini menjemput Dr. Mahathir sebagai tetamu khasnya. Ia sepatutnya diadakan pada 24 Ogos depan di Kompleks Belia Shah Alam sempen sambutan hari kemerdekaan negara.

Program tersebut dianjurkan oleh Pemuda UMNO Selangor. Penangguhan majlis tersebut disahkan oleh ketua pergerakan itu, Abdul Shukur Idrus.

Beliau yang dihubungi malaysiakini menjelaskan majlis itu terpaksa ditangguhkan kerana 'Umno Selangor sibuk dengan mesyuarat bahagian dan cawangan'.

"Kami telah membuat keputusan menangguhkan majlis itu dalam mesyuarat beberapa hari lalu. Dari awal Ogos hingga September ahli-ahli Umno Selangor sibuk dengan mesyuarat tahunan masing-masing. Kita ada 22 bahagian dan tempoh mengadakan mesyuarat hanya satu setengah bulan, oleh kerana terlalu sibuk, majlis itu terpaksa ditangguhkan dulu," katanya.

Beliau memberitahu, mengikut perancangan awal, kira-kira 5,000 orang dijangka menghadiri majlis makan malam itu. Dr. Mahathir dikatakan telahpun mengesahkan akan menghadiri majlis tersebut.

Bagaimanapun sumber-sumber memberitahu, Pemuda Umno Selangor telah menerima tekanan dari Pemuda UMNO pusat meminta majlis tersebut diadakan pada satu tarikh lain yang lebih sesuai.

Menurut sumber itu lagi, Shukur telah menerima panggilan daripada barisan pimpinan Pemuda UMNO pusat meminta majlis itu ditangguhkan.

Ahli kecewa

"Kami difahankan dalam keadaan konflik antara Perdana Menteri dengan bekas Perdana Menteri belum ada tanda-tanda untuk reda, Pemuda Umno pusat telah mengarahkan semua program melibatkan Dr. Mahathir ditangguhkan dulu," kata sumber itu.

Berikutan keputusan menangguhkan majlis tersebut, sekretariat sambutannya telah ditutup.

Sementara itu seorang ahli jawatankuasa pergerakan Pemuda Umno Selangor pula berkata, keputusan menangguhkan majlis itu telah mengecewakan ramai ahli-ahli Umno Selangor kerana ia satu tindakan yang tidak wajar.

Menurutnya, ia hanya satu majlis makan malam, bukannya ceramah penerangan isu-isu semasa.

"Kita hanya mahu meraikan bekas-bekas pemimpin yang sudah banyak berjasa kepada negara, bukannya bertujuan menyokong mana-mana pihak," katanya.

Mubarak Kelantan pada awal bulan ini membatalkan majlis bersama bekas Perdana Menteri yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini setelah menerima tekanan dari badan perhubungan Umno Kelantan dan Umno Pusat.

Namun begitu kunjungan Dr. Mahathir ke Kelantan tetap diteruskan sebagaimana dirancang, tetapi kali ini dianjurkan oleh pihak lain.

Persatuan veteran Umno Kelantan dan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK)akan menganjurkan majlis bersama Dr. Mahathir itu yang antara lain melibatkan aktiviti penerangan isu-isu semasa dan program mendekati rakyat.

Sementara itu semalam, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib berkata, Umno tidak menghalang ahli-ahlinya bertemu atau menganjurkan majlis bersama Dr. Mahathir.