Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes baru meningkat, Bangau-bangau kluster ketujuh di Sabah
Diterbitkan:  Sep 22, 2020 5:37 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Covid-19 kembali mencatatkan kenaikan di Malaysia, dengan 82 kes baru setakat tengah hari ini, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

"Daripada 82 kes baru yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara," katanya pada sidang media di Putrajaya.

Jelasnya, daripada 72 kes penularan di dalam negara pula, 60 kes melibatkan warganegara Malaysia dan 12 kes adalah bukan warganegara.

Sementara itu, Sabah terus merekod kenaikan dengan 60 kes baru Covid-19 dan satu lagi kluster baru yang dirujuk sebagai Kluster Bangau-bangau telah dikesan di Semporna.

"Kluster ini dikenalpasti hasil saringan kemasukan pesakit ke Hospital Semporna.

"Sebanyak lima kes (iaitu kes ke-10340 hingga ke-10344) telah dikesan positif Covid-19 pada 21 September 2020.

"Daripada jumlah itu, empat kes merupakan warganegara Malaysia dan satu kes merupakan bukan warganegara. Kesemua mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Semporna untuk rawatan," kata Dr Noor Hisham.

Semalam, kluster keenam dikesan di Tongod, Sabah dirujuk sebagai Kluster Kuarters, selain Kluster Benteng LD, Kluster Selamat, Kluster Pulau, Kluster Bakau dan Kluster Laut.

Menjelaskan lanjut, katanya setakat 12 tengah hari ini, sejumlah 97 individu telah disaring.

"Lima kes dikesan positif Covid-19; dan 92 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga memaklumkan terdapat 10 kes di Kedah merangkumi sembilan daripada Kluster Sungai serta satu kes saringan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di Kota Setar.

Selain itu, turut direkodkan masing-masing satu kes saringan praprosedur di sebuah pusat perubatan di Selangor dan kes saringan bergejala di Hospital Umum Sarawak, katanya.

Beliau berkata kes import pula membabitkan sembilan individu yang pulang dari India dan satu dari Indonesia.

Dr Noor Hisham berkata jumlah kes pulih pula meningkat kepada tiga angka dengan 168 individu, menjadikan jumlah kumulatif pulih sepenuhnya kini 9,563 kes atau 92.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Tiada kematian baharu direkodkan, jumlah maut kekal 130 kes. Pada masa ini terdapat sembilan kes dirawat di unit rawatan rapi dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS