Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SKMM, TM lawat estet lepas berita modem di atas tiang

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) cawangan Kedah telah melawat ke Ladang UP Bahagian Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah selepas penduduk estet tersebut menarik perhatian orang ramai dengan memacak tiang dan meletakkan modem internet tanpa wayar di puncaknya bagi mendapat talian Internet.

Menurut wakil penduduk estet, V Barathidasa, 26, pihak SKMM telah melawat kawasan itu sebanyak tiga kali sejak 18 Sept selepas masalah mereka disiarkan Malaysiakini.

"SKMM datang pada 18 Sept sehari selepas artikel di Malaysiakini untuk mendapatkan pengesahan. Mereka datang semula pada 20 Sept dan sekali lagi pada 21 Sept untukpemeriksaan masalah talian telefon."

Sementara itu, pihak Telekom Malaysia (TM) juga melawat sebanyak tiga kali pada 18 Sept, 19 Sept dan 20 Sept.

"Selain TM memeriksa talian telefon dan talian tanpa wayar di kawasan perumahan kami, mereka turut menawarkan penduduk di sini kemudahan internet 'Home Wifi'," katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan lebih 170 penduduk di estet tersebut terpaksa meletakkan modem ditempat tinggi bagi mendapatkan sambungan internet selepas mendakwa kawasan perumahan mereka tidak mempunyai sambungan internet.

Setakat ini, penduduk di situ membina enam tiang bendera yang setiap satu berharga antara RM100 hingga RM300. 

Mereka meletakkan modem di dalam baldi dan menaikkannnya pada tiang bendera untuk mendapatkan internet.

Masalah jaringan internet di estet berkenaan juga mendapat reaksi daripada Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang memberitahu sebanyak 200 ratus menara telekomunikasi baru akan dibina di Kedah bagi meningkatkan keupayaan sistem telekomunikasi di negeri itu. 

Ketika dihubungi, SKMM Kedah mengesahkan telah melakukan lawatan ke estet tersebut.

"Kami telah melawat ke ladang tersebut. Dan akan membuat kenyataan dalam masa terdekat," kata seorang pegawainya.

Sementara itu, Barathidasa berkata penduduk ladang menolak tawaran 'Home Wifi' oleh TM yang menggunakan kabel optik untuk mendapatkan kemudahan internet.

"Masalah utama kami adalah kemudahan telekomunikasi iaitu tiada talian telefon. Kalau isu ini diselesaikan maka isu internet tidak akan timbul.

"Ini kerana kebanyakan penduduk di sini menggunakan pakej talian telefon yang mempunyai internet. Maka, tawaran 'Home Wifi' hanya membebankan kami," katanya.

Dalam pada itu, Adun Bukit Selambau, R Summugam berkata pihaknya telah menghantar surat kepada SKMM untuk menaik taraf kemudahan telekomunikasi pada Mac lalu.

"Namun, kami tidak dapat menghubungi SKMM selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Lihat Komen
ADS