Tak sokong PAS tak dapat saham ladang rakyat di Ktan
Pengagihan dividen Saham Ladang Rakyat (SLR) kepada golongan miskin di Kelantan akan ditarik balik jika penerima bantuan itu dikesan tidak menyokong PAS.
Pengagihan dividen Saham Ladang Rakyat (SLR) kepada golongan miskin di Kelantan akan ditarik balik jika penerima bantuan itu dikesan tidak menyokong PAS.
Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan Zainudin Awang Hamat berkata dividen RM200 sebulan itu juga akan dibatalkan jika penerima terbabit didapati tidak pernah bersolat jemaah di surau mukim masing-masing.
"Dua perkara itu menjadi syarat utama kumpulan sasaran yang dibantu kerajaan negeri menerusi Perbadanan Ladang Rakyat untuk terus menikmati pengagihan dividen," katanya ketika berucap di majlis penyampaian dividen SLR peringkat kawasan Parlimen Pasir Puteh, Kelantan semalam. Ia disampaikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.
Zainudin, yang juga Shli Dewan Undangan Negeri kawasan Limbongan, berkata syarat yang paling utama ialah mereka tidak menyokong Barisan Nasional (BN) kerana peruntukan itu adalah sumber hasil yang diusahakan oleh kerajaan negeri diterajui PAS.
Beliau berkata, pemilihan golongan miskin berdasarkan bancian oleh penggawa dan penghulu mukim masing-masing dengan penelitian dan persetujuan wakil rakyat PAS atau penyelia DUN yang dilantik oleh kerajaan negeri.
Menurut laporan Bernama, seramai 25 orang dari setiap kawasan DUN terdiri warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya, anak yatim serta golongan daif, dipilih menerima dividen itu.
Zainudin berkata program itu adalah sebahagian langkah kerajaan negeri membantu rakyat ekoran kenaikan harga minyak dan kadar tarif elektrik.

