Dewan Pemuda PAS pusat telah menghantar surat jemputan kepada Pergerakan Pemuda Umno Malaysia untuk menyertai perarakan membantah serangan Israel ke atas Lebanon dan kehadiran Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice di mesyuarat Asean di Kuala Lumpur.

Dalam surat tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub, beliau berkata, atas sifat kemanusian, pihaknya mengenepikan perbezaan fahaman politik.

"Kami mengalu-alukan penyertaan daripada ahli Umno dan Pemuda Umno, khasnya," kata Salahuddin dalam surat yang dihantar kepada Ketua Pemuda Umno, Datuk seri Hishammuddin Tun Hussein, semalam

Menurut surat itu, perarakan tersebut akan bermula dri Masjid Kampung Baru hingga ke kedutaan Amerika Syarikat selepas solat Jumaat ini.

Semalam, Pemuda PAS menghantar surat bantahan kepada Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berhubung kedatangan Rice itu.

Menurut Salahuddin, Pemuda PAS membantah kehadiran Setiausaha Negara Amerika itu di atas sikap Amerika ke atas isu Lebanon dan Palestin.

Beratus-ratus orang awam terbunuh terutamanya di Lebanon manakala beribu-ribu lagi hilang tempat tinggal di negara itu kerana Israel terus melancarkan serangan melepasi sempadan kedua-dua negara itu yang kini sudah hampir dua minggu.

Sementara itu, para menteri luar Asean mengutuk serangan yang menyebabkan kecederaan dan kematian orang awam yang tidak berdosa dan pemusnahan harta dan insfrastruktur awam di Asia Barat.

Proses perdamaian

Kenyataan Menteri Luar Brunei, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam turut menegaskan bahawa tindakan itu boleh menjejaskan usaha-usaha ke arah proses perdamaian.

"Kami memandang serius keadaan yang semakin buruk dan peningkatan keganasan di Asia Barat, terutama yang tidak menentu, bersifat diskriminasi dan penggunaan ketenteraan yang melampau oleh Israel di Wilayah Pendudukan Palestin dan Lebanon, berikutan penawanan dua orang tentera Israel.

"Kami meminta semua pihak untuk menggunakan tindakan kawalan, terutama untuk mengelakkan lebih banyak kematian di kalangan orang awam yang tidak bersalah dan kemusnahan harta dan infrastruktur awam dan mencegah tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan dan krisis kemanusiaan," kata kenyataan tersebut.

Menurut laporan Bernama, para menteri luar Asean itu juga mahukan perlucutan senjata dengan segera dan meminta masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memastikan semua pihak dapat konflik itu mematuhi perlucutan senjata di bawah seliaan PBB dengan penyertaan negara-negara yang mampu melaksanakannya.

"Kami tegas mahukan penghormatan kedaulatan, integriti wilayah serta kemerdekaan perpaduan dan politik Lubnan di bawah kuasa eksklusif kerajaan Lebanon seperti yang termaktub dalam Resolusi 1664 dan 1680 UNSC.

"Kami juga mahu supaya Israel dan Palestin kembali kepada proses keamanan dan pelaksanaan Pelan Berdasarkan Prestasi Kuartet, kepada Penyelesaian Tetap Dua Negara dalam konflik Israel-Palestin seperti yang digariskan dalam Resolusi 1515 UNSC," katanya.