Biro Politik Umno Bahagian Silam bertanggungjawab meluluskan program untuk mengutip tandatangan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kata Pemangku Ketua Bahagian Umno Silam, Datuk Samsu Baharun Abdul Rahman.

Oleh itu, katanya, Umno bahagian berkenaan tidak perlu mengadakan mesyuarat di peringkat Ahli Jawatankuasa (AJK) untuk meneruskan projek mengutip tandatangan tersebut.

"Ia merupakan aktiviti Biro Politik Umno Bahagian Silam dan Umno bahagian telah diberitahu mengenai perkara tersebut dan saya membenarkannya," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Ketua Pemuda Umno Bahagian Silam, Salleh Kalbi yang mendakwa usaha mengutip tandatangan tersebut tidak mendapat kebenaran AJK Umno bahagian Silam.

Salleh juga mendakwa, Samsu Baharun menggunakan tandatangan itu untuk menunjukkan kepada pucuk pimpinan Umno negeri bahawa beliau masih mendapat sokongan di peringkat akar umbi.

Bagaimanapun, Samsu Baharun yang juga Setiausaha Parlimen Pembangunan Usahawan dan Koperasi menolak dakwaan tersebut sambil mendakwa mereka yang mempertikaikan usaha itu adalah ahli parti yang kecewa.

"Mereka sebenarnya yang tidak mendapat sokongan di kalangan ahli Umno Silam," katanya sambil menambah kumpulan tersebut mahu menjatuhkannya dari kepimpinan Umno bahagian tersebut.

Langkah mayat

Samsu Baharun berkata, beliau telah menyerahkan sendiri tandatangan ahli Umno bahagian Silam kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau tiba di Lapangan Terbang Subang sekembalinya dari bercuti di luar negara pada 15 Julai lalu.

Katanya, tandatangan itu bagi membuktikan sokongan padu ahli Umno bahagian Silam terhadap kepimpinan Abdullah.

Beliau menegaskan, ia bukan bertujuan untuk membolehkan dirinya supaya dipilih sekali lagi bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

"Pilihanraya lambat lagi...kita tidak tahu bila hari mengundi, jadi ini bukan soal pilihanraya," katanya lagi.Samsu Baharun dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, 33,173 ahli dari 368 cawangan Umno Silam kepada Abdullah telah menyatakan sokongan kepada Abdullah.

Samsu dilaporkan memberi amaran "orang yang berani menjatuhkan Abdullah supaya melangkah mayatnya terlebih dahulu".

Dalam kenyataan akhbar yang dikatakan ditulis oleh Samsu, antara lain berbunyi: seluruh ahli jawatankuasa Umno bahagian Silam termasuk Pemuda, Wanita, Puteri, Veteran dan ahli-ahlinya mencapai kata sepakat menentang apa jua bentuk penentangan dan kritikan terbuka terhadap kepimpinan Abdullah.

"Kami menganggap mereka yang menentang kepimpinan Abdullah sebagai penderhaka kepada parti dan negara," kata kenyataan itu lagi.