ULASAN | Antikatak politik: P’raya pecat wakil rakyat?
Sejak pertemuan sekumpulan ahli politik dan wakil rakyat di Hotel Sheraton pada Februari lepas, rakyat dihidangkan dengan gejala wakil rakyat lompat-melompat dan khianat- mengkhianati sesama pemain politik, yang kemudiannya melihatkan keruntuhan kerajaan yang dipilih selepas pilihan raya umum lalu.
Pakatan Harapan tumbang selepas 22 bulan mentadbir negara dan digantikan oleh Perikatan Nasional.
Malah, kini Sabah terpaksa menjalani pilihan raya negeri di tengah-tengah wabak Covid-19 kerana Musa Aman berjaya menarik seramai 14 Adun daripada kerajaan Warisan Plus untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Shafie Apdal.
Empat belas Adun yang melompat tersebut adalah Adun yang sama melompat daripada BN selepas 10 Mei 2020 untuk mengangkat atau mengukuhkan Shafie Apdal sebagai ketua menteri.
Ini bermakna hampir kesemua Adun tersebut kecuali Adun Inanam, Keny Chua telah melompat dua kali dalam tempoh 27 bulan selepas PRU14 yang lalu.
Gejala lompat-melompat yang semakin parah ini dilihat sebagai sebab utama ketidakstabilan politik yang berlaku di beberapa buah negeri sehingga akhirnya membawa ke negeri Sabah.
Maka timbul semula perbincangan keperluan untuk ada satu undang-undang bagi mengekang lompat parti iaitu dengan mewujudkan undang-undang antilompat parti.
Akibat daripada ketidakstabilan politik yang wujud, beberapa ahli politik juga telah mencadangkan undang-undang ini.
Ini termasuklah Shafie Apdal dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Anifah Aman pula telah memasukkan recall petition (pilihan raya pecat wakil rakyat) dalam manifestonya untuk PRN Sabah.
Halangan terbesar undang-undang antilompat
Sebelum ini pernah ada percubaan untuk undang-undang seakan-akan undang-undang antilompat.
Kes yang masyhur adalah kes Nordin Salleh lawan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1991.
Mahkamah Persekutuan pada tahun 1992 telah menetapkan bahawa undang-undang yang mewajibkan anggota dewan untuk mengosongkan kerusi selepas bertukar parti adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara tersebut menyatakan “tertakluk kepada fasal (2),(3) dan (4), semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan”.
Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, walaupun Pulau Pinang telah meminda perlembagaan negerinya pada tahun 2012 agar ahli dewan yang bertukar parti akan dilucutkan jawatan tetapi dibenarkan untuk bertanding semula, ia juga dijangka akan diisytiharkan sebagai tidak sah jika dibawa ke mahkamah.
Keperluan undang-undang antilompat
Terdapat dua hujah yang masing-masing mempunyai merit.
Satu pihak mahukan undang-undang antilompat supaya wakil rakyat yang dipilih dalam pilihan raya berfikir banyak kali sebelum membuat keputusan bertukar arah.
Ini kerana lompat parti akan menyebabkan dia dilucutkan kerusi secara automatik. Sekiranya boleh dilucutkan kerusi, maka wakil rakyat akan takut untuk melompat.
Namun bagaimanakah sekiranya dia melompat parti dengan justifikasi yang kuat, contohnya parti yang diwakilinya sudah terlalu korup dan rosak? Ataupun partinya yang membelakangkan manifesto atau wakil rakyat yang dipilih itu dipecat?
Isu ini menjadi hujah kepada satu pihak lagi supaya tidak diwujudkan undang-undang antilompat.
Undang-undang antilompat juga mempunyai kekurangan (loop holes) apabila parti politik yang membentuk satu gabungan tiba-tiba melompat untuk menyertai atau membentuk gabungan politik lain.
Ini seperti tindakan Bersatu keluar Pakatan Harapan dan membentuk Perikatan Nasional bersama Umno, GPS, PAS dan MCA.
Sekiranya bertukar gabungan, undang-undang antilompat tidak dapat menghukum parti yang menukar gabungan politik mereka.
Satu lagi kemudaratan undang-undang antilompat ialah kewujudan dewan perundangan ‘chop getah’ (rubber stamp) yang menjadi pak turut kepada kuasa eksekutif.
Undang-undang antilompat yang berkesan mesti menghukum bukan sahaja mereka yang keluar parti, tetapi juga mereka yang dipecat.
Ini bermakna pimpinan parti diberi kuasa besar untuk melucutkan wakil rakyat yang berani mengingkari perintah parti sekalipun parti yang membelakangkan mandat rakyat.
Jalan tengah: Pilihan raya pecat wakil rakyat
Namun, pengalaman demokrasi di belahan dunia yang lain menunjukkan adanya jalan tengah yang boleh diambil untuk mengatasi perkara ini. Malah jalan ini mungkin lebih bermakna dengan benar-benar memperkasakan suara rakyat sebagai suara keramat.
Jalan ini boleh diambil untuk membataskan gejala lompat parti ini dengan memberi beberapa had kepada wakil rakyat yang ingin melompat parti.
Alternatif yang boleh diambil adalah dengan mewujudkan pilihan raya pecat wakil rakyat. Pilihan raya pecat wakil rakyat ini tidak melibatkan sebarang perubahan sistem.
Ia secara asasnya adalah memberikan kuasa kepada pengundi untuk menarik balik mandat atau memecat wakil rakyat yang sedia ada.
Kaedah ini dinamakan recall election atau pilihan raya pecat wakil rakyat, samalah seperti pungutan suara rakyat (referendum) untuk menentukan sama ada mandat yang mereka berikan kepada wakil rakyat harus berkekalan sampai hari dewan dibubarkan.
Sebagai contoh di Malaysia, tempoh wakil rakyat adalah selama lima tahun, namun sekiranya usul untuk memecat wakil rakyat itu diluluskan dalam pilihan raya pecat wakil rakyat, ia boleh mencetuskan pilihan raya kecil di untuk kawasan parlimen/DUN tersebut.
Asas untuk memecat wakil rakyat tidak semestinya terhad dengan perlakuan melompat parti tetapi juga boleh merangkumi apa-apa justifikasi munasabah lain yang dibenarkan undang-undang, seperti disabitkan melanggar undang-undang jenayah tetapi hukuman mahkamah tidak sampai menyahlayakkannya, ataupun ketidakpuasan rakyat terhadap prestasi wakil rakyat itu.
Dalam kontrak pekerjaan biasa pun, kedua-dua majikan dan pekerja boleh menamatkan kontrak dengan notis lebih awal, maka kuasa kedua-dua pihak setimpal.
Akan tetapi, kontrak pekerjaan wakil rakyat sekarang sangat berat sebelah – cuma si pekerja yang boleh berhenti awal, si majikan pula tidak dikenakan apa-apa sekiranya melanggar peraturan.
Pilihan raya pecat wakil rakyat akan membetulkan ketempangan ini dengan memberi hak yang sama kepada majikan iaitu rakyat.
Bagaimana mencetuskan pilihan raya pecat wakil rakyat?
Untuk membolehkan pilihan raya pecat wakil rakyat ini di peringkat persekutuan, Perkara 48 (Kehilangan Kelayakan Menjadi Ahli Parlimen) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk memasukkan klausa petisyen rakyat untuk pilihan raya menarik balik wakil bagi menghilangkan kelayakan sebagai ahli parlimen.
Apa yang menarik ialah kelayakan Adun adalah bidang kuasa negeri bawah Jadual ke-8 Perlembagaan Persekutuan, bermakna pilihan raya pecat wakil rakyat boleh diperkenalkan di peringkat negeri selagi perlembagaan negeri dapat dipinda.
Ini bermakna negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang yang turut terancam oleh lompatan wakil rakyat tetapi kerajaannya mempunyai majoriti dua-pertiga di dewan sebenarnya boleh memperkenalkan reformasi ini.
Bagi mencetus pilihan raya pecat wakil rakyat ini, terdapat tiga peringkat yang perlu dilakukan.
Pertama, mesti ada sekumpulan pengundi sah yang mencapai ambang (threshold) tertentu yang ditetapkan oleh undang-undang (misalnya satu peratus daripada jumlah pengundi sedia ada) untuk memulakan petisyen memecat.
Kedua, kumpulan ini kemudian perlu mengumpul jumlah tandatangan menyokong untuk mencapai ambang kedua (misalnya 10 peratus daripada jumlah pengundi) dalam tempoh masa tertentu.
Ketiga, jika pilihan raya pecat itu berlaku, petisyen hanya akan diluluskan jika ia mencapai ambang ketiga, peratusan mengundi dan peratusan undi bersetuju tertentu.
Sebagai contoh, undi bersetuju mesti melebihi 50 peratus daripada peratusan pengundi atau bilangan undi yang didapati oleh wakil rakyat dalam pilihan raya lepas, yang mana lebih rendah.
Dengan ini, wakil rakyat yang ingin melompat masih boleh berbuat demikian tetapi mereka mesti mempertimbangkan risiko dipecat sekiranya rakyat di kawasan mereka tidak bersetuju.
Seandainya majoriti rakyat bersetuju dengan tindakan lompat parti, maka mungkin petisyen pecat itu gagal mencapai ambang pertama atau kedua untuk membawa kepada pilihan raya pecat, atau usul itu gagal mencapai ambang ketiga dalam pilihan raya, seolah-olah dia mendapat mandat baharu pengundi.
Ini akan membebaskan seseorang wakil rakyat itu daripada cemuhan pengkritik kerana tindakan melompat itu direstui oleh majoriti pengundi daripada segi prosedur.
Sudah tentu pelaksanaan pilihan raya pecat wakil rakyat – seperti berapa nilai ambang- perlu diperhalusi dari aspek perundangan dan teknikalnya supaya tidak akan disalahgunakan bagi melucutkan jawatan wakil rakyat parti lawan sewenang-wenangnya.
Apakah parti yang benar-benar antikatak?
Pengenalan mekanisme pecat wakil rakyat ini pasti akan memperkukuhkan suara rakyat dan memberikan ruang kepada rakyat untuk menyatakan sokongan atau bantahan dengan lebih kuat dan jelas, daripada terpaksa menunggu pilihan raya umum dua atau tiga tahun lagi.
Kalau parti-parti yang bersaing dalam PRN Sabah sekarang benar-benar menolak katak, janjikanlah pengenalan pilihan raya pecat jika mereka berjaya membentuk kerajaan, tak kira sama ada perlembagaan persekutuan dipinda.
Sudah pasti rakyat Sabah yang bencikan katak akan lantang bersuara sampai pindaan perlembagaan negeri dapat sokongan dua pertiga di dewan.
Kalau menolak katak di mulut saja, siapa tahu nanti lepas PRN dia yang membeli katak pula?
ASRAF SHARAFI MOHAMMAD AZHAR adalah anak menantu Tuaran yang cintakan demokrasi dan pilihan raya bersih.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

