Skandal forex: Jaffar tahu kerugian yang dialami
Bercanggah dengan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaffar Hussein adalah "antara perancang utama dalam spekulasi matawang asing" yang mengakibatkan kerugian sehingga RM30 bilion, dakwa bekas pegawai kanan Bank Negara.
Bercanggah dengan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaffar Hussein adalah "antara perancang utama dalam spekulasi matawang asing" yang mengakibatkan kerugian sehingga RM30 bilion, dakwa bekas pegawai kanan Bank Negara.
Rosli Yaakop yang bertugas sebagai timbalan pengurus jabatan ekonomi bank pusat itu sehingga bulan April 1994, berkata Jaffar tidak boleh terlepas daripada turut bertanggungjawab bersama Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop terhadap kerugian yang dialami itu antara tahun 1992 hingga 1994.
"Saya bertugas di Bank Negara ketika itu dan saya tahu cerita sebenarnya. Antara perancang utama spekulasi matawang asing itu adalah gabenor sendiri dan Tan Sri Nor Mohamed, yang melaksanakan spekulasi itu dan dianggap sebagai "orang kesayangan" Jaffar," kata Rosli kepada malaysiakini.
Rosli yang juga Pesuruhjaya PAS Negri Sembilan, mengulas kenyataan Anwar dalam wawancaranya dengan malaysiakini minggu lalu bahawa Jaffar "tidak tahu mengenainya (kerugian itu)" dan "benar-benar percaya yang ia hanya membabitkan jumlah wang yang kecil".
Anwar, yang merupakan Menteri Kewangan ketika itu, mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersepakat dengan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan Nor Mohamed sehingga mengakibatkan kerugian tersebut.
Jaffar dan Nor Mohamed (yang ketika itu merupakan penolong gabenor yang bertanggungjawab mengenai pelaburan, pengurusan rizab dan perdagangan matawang asing) telah diarah meletakkan jawatan ekoran siasatan dalaman yang dijalankan.
Jaffar kemudiannya dilantik sebagai timbalan pengerusi Permodalan Nasional Bhd sehinggalah beliau meninggal dunia pada 1996.
Bukan 'kerugian atas kertas'
Rosli berkata, Jaffar pada mulanya mahu mengurangkan kesan kerugian tersebut dengan mendakwa ianya hanya kerugian "atas kertas" sahaja. Ini bagaimana dibuktikan sebaliknya apabila jumlah sebenarnya membabitkan berbilion ringgit.
Beliau gagal melihat bahawa telah berlaku salahpengurusan dan pemalsuan, dalam laporan mengenai kedudukan transaksi matawang, dakwa Rosli.
Kerugian tersebut dikesan oleh seorang pegawai rendah, tetapi tiada tindakan diambil untuk menyekat kerugian seterusnya, kerana perkara itu telah disembunyikan daripada pengetahuan gabenor, kata Rosli.
"Kesilapan paling besar Jaffar ketika menjadi gabenor Bank Negara ialah kerana terlalu mempercayai Nor Mohamed dan gagal mengesan berlakunya pelanggaran peraturan Bank Negara dan norma-norma pasaran (matawang)," katanya.
Menurutnya, tindakan Jaffar (foto) dan Nor Mohamed telah mengakibatkan kerugian wang rakyat dan seterusnya membebankan rakyat.
"Apabila ditinjau kembali, hukuman terhadap Jaffar dan Nor Mohamad amatlah lembut dan tidak sepadan dengan keseriusan kesalahan yang dilakukan," tambah Rosli.
Isu mengenai kerugian spekulasi matawang tersebut ditimbul semula oleh bekas Pengerusi Penerbangan Malaysia, Tan Sri Tajudin Ramli dalam samannya.
Ekoran itu, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang telah menggesa supaya ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat mereka yang bertanggungjawabjawab terhadap kerugian tersebut. Terjemahan


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.