Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

PRN SABAH | Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming menggesa penduduk Sabah agar mengundi Warisan Plus bagi menghalang Pengerusi BN negeri Bung Moktar Radin dan Musa Aman daripada menjadi ketua menteri dan Yang di-Pertua Negeri.

"Orang tua-tua kata jika kita bercakap tentang mimpi buruk kita, ia tak akan jadi realiti. Semalam, saya dapat mimpi buruk BN menang dan Bung adalah ketua menteri baru.

"Jika ini berlaku, bagaimana orang Sabah boleh berbangga lagi? Di mana maruah mereka?" katanya kepada lebih 200 penyokong dan pengundi yang hadir di ceramah yang diadakan di DUN Luyang di Kota Kinabalu.

"Satu lagi ialah siapa Yang di-Pertua Negeri yang baru? Saya dengar Musa (Aman).

"Musa tak bertanding dalam PRN dan dia tiada buat kacau. Jadi persetujuan mungkin telah dibuat di belakang kita. Persetujuan apa? Boleh jadi berkenaan (kedudukan) Yang di-Pertua Negeri," katanya.

Kebanyakan yang hadir ke program itu adalah golongan pertengahan dan berusia yang dilihat mengangguk dan bertepuk tangan mendengar ucapan. Kebanyakannya turut dilihat membaca risalah-risalah kempen yang diedarkan.

Mereka dengan sabar menunggu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan penyandang DUN Luyang, Phoon Jin Zhe untuk menyampaikan ucapan.

Turut hadir adalah Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok dan penyandang DUN Likas Tan Lee Fatt.

Luyang adalah kawasan DUN yang memiliki bilangan pengundi Cina dan Cina-Kadazan teramai iaitu sebanyak 80.5 peratus, diikuti Likas dengan 78.1 peratus. Kedua-duanya adalah kubu kuat DAP.


Baca: Rakyat jadi penentu: PRN Sabah 2020


Lim dalam ucapannya berkata pengundi perlu menunjukkan rasa tidak puas hati mereka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana menimbang untuk tidak memberikan lebih peruntukan jika Warisan Plus menang dalam PRN ini.

"Berani dia mengancam untuk tak beri dana kepada Sabah? Tiada Malaysia tanpa Sabah...Tunjukkan kepada Muhyiddin apa yang anda rasa. Jangan buli orang Sabah, kita ada maruah," katanya.

Teresa Kok

Sementara itu, Kok menggesa pengundi Cina agar menyokong ketua menteri sementara Shafie Apdal yang disifatkannya sebagai pemimpin Muslim yang sederhana dan terbuka.

Bercakap dalam bahasa Mandarin bercampur dialek Hakka - yang digunakan dengan meluas oleh penduduk Cina tempatan dan malah golongan bumiputera - Kok berkata pemimpin DAP di semenanjung perlu amat cermat dalam memberikan kenyataan ekoran sentimen kaum dan agama yang dimainkan seteru politik mereka.'

"Jarang untuk kita lihat kempen pilihan raya yang menampilkan pakatan politik mahu membina negara, bukan membangkitkan kaum dan agama," katanya memetik slogan kempen yang antara lain dipaparkan di papan tanda di negeri itu.

"Pengundi Cina di Sabah hanya 10 peratus...Jika kita tak undi Warisan Plus, apa lagi pilihan kita?" katanya lagi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS