Versi bahasa Cina malaysiakini akan menyambut ulangtahun pertamanya hari ini. Walaupun dalam tempoh sesingkat itu, ia telah mengukir nama dan mendapat tempat di hati masyarakat Cina di negara ini.

Versi tersebut dikendalikan oleh empat orang kakitangan yang diketuai oleh Editornya, Yong Kai Ping.

Mereka telah berjaya menghasilkan banyak laporan ekslusif dan wawancara menarik dengan personaliti terkenal dalam masyarakat Cina.

Bagi Yong (dua dari kiri), kejayaan tersebut adalah hasil kegigihan anggota pasukannya yang terdiri daripada wartawan Ng Ling Fong dan Kuek Ser Kuang Keng, serta eksekutif pengiklanan/langganan, See Tho Chee Seong.

Beliau juga mengucap terima kasih kepada semua pembaca kerana sokongan yang mereka berikan serta sumbangan kolumnis bagi versi tersebut melalui tulisan mereka yang bernas dan memberangsangkan yang mendapat sambutan hebat daripada masyarakat Cina.

"Versi bahasa Cina telah mendapat banyak perhatian dan sokongan. Kami telah menyiarkan beberapa laporan ekslusif seperti amalan rasuah di kalangan guru besar sekolah rendah Cina, tindakan menutup ladang babi di Melaka, kontroversi pilihanraya kampus serta monopoli media Cina dan banyak lagi," katanya.

"Dengan adanya edisi bahasa Cina dan bahasa Melayu, malaysiakini kini merupakan satu-satunya pertubuhan berita di negara ini yang disiarkan dalam tiga bahasa. Kami juga komited terhadap matlamat kami untuk meningkatkan lagi kefahaman dan tolak ansur antara pelbagai kaum di negara ini.

"Saya juga mengucap terima kasih kepada semua pembaca kami, rakan-rakan serta para penyokong yang memberi kepercayaan kepada kami. Kami berharap akan dapat membina Malaysia yang bersatu padu," tambahnya.

Sambutan sederhana

Sempena ulangtahun pertamanya, sebuah majlis sambutan secara sederhana akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada jam 7.30 malam ini.

Majlis tersebut yang terbuka kepada orang ramai, dianjurkan bersama oleh jawatankuasa hak awam KLSCAH.

Sebuah forum juga turut diadakan bagi membincangkan impak media online Cina di Malaysia. Kolumnis malaysiakini, Yang Bai Yang juga akan melancarkan buku barunya yang bertajuk Tian Xia Tai Ping (Semua Belum Reda Lagi)

Ahli penal forum tersebut, yang dipengerusikan oleh Yong, ialah Yang, kolumnis serta tokoh pendidikan terkenal Cina, Lee Ban Chen dan Pensyarah Jabatan Pengajian Media Kolej New Era, Por Heong Hong as speakers.

Ketua Pegawai Eksekutif malaysiakini, Premesh Chandran juga akan memberi ceramah mengenai masa depan malaysiakini.

Mereka yang hadir pada malam juga berpeluang untuk melanggan malaysiakini pada kadar diskaun yang cukup menarik.

'