Hani Mohsin, pelakon dan hos program TV Roda Impian, meninggal dunia akibat diserang sakit jantung di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang hari ini.

Hani, 41, rebah di Terminal Penerbangan Tambang Murah pada jam 10 pagi ketika menunggu menaiki pesawat ke Alor Star dalam perjalanannya ke Langkawi, demikian menurut Yasin Hamid, penerbit eksekutif Imagine Pictures, syarikat penerbitan yang diusahakan oleh allahyarham.

Selepas terjatuh, beliau dibawa ke klinik di terminal itu tetapi disahkan meninggal dunia.

Jenazah beliau dihantar ke Hospital Serdang untuk bedahsiasat dan kemudiannya dibawa pulang ke rumahnya di No 9, Jalan Kelab Ukay, Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, di Kuala Lumpur.

Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) Dr Mahadi J Murat memberitahu Bernama bahawa FDAM akan membantu menguruskan jenazah Hani Mohsin, yang juga ahli jawatankuasa persatuan itu.

Anggota keluarga terdekat Allahyarham di Perlis dan Perak, yang telah dimaklumkan mengenai berita ini, sedang dalam perjalanan ke rumah allahyarham.

Ramai sahabat handai dan wakil media kelihatan berada di kediaman allahyarham.

Mahadi berkata, jenazah allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Mukim Hulu Klang, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Klang selepas solat Asar.