Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
150 kes baru, satu korban
Diterbitkan:  Sep 27, 2020 5:48 PM
Dikemaskini: Sep 28, 2020 2:46 AM

Terdapat 150 kes baru dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Sabah terus mencatatkan kes tertinggi dengan pertambahan jangkitan sebanyak 124 kes baru hari ini.

Daripada 150 kes baru yang dilaporkan, empat adalah kes import yang dilaporkan di Kuala Lumpur (2 kes) dan di Selangor (2 kes).

Daripada 146 kes penularan di dalam negara, 124 kes adalah warganegara Malaysia dan 22 kes adalah bukan warganegara.

Bagi jangkitan di Sabah, Kluster Benteng Lahad Datu menyumbang jangkitan paling tinggi iaitu 58 kes.

Ini diikuti Kluster Bangau-Bangau (20 kes), Kluster Bakau (13 kes), Kluster Pulau (10 kes) dan lapan kes daripada kluster baru iaitu, Kluster Kg. Sakong.

Selain itu, satu lagi kluster baru iaitu Kluster Buang Sayang mencatat tiga kes.

Sementara selebihnya adalah terdiri daripada lapan kes dikesan melalui saringan bergejala, , satu kes saringan komuniti, satu kes Influenza-Like Illness (ILI), satu kes saringan kontak rapat kepada kes ke-10359, dan satu kes saringan sebelum pulang ke Sarawak yang melibatkan warganegara.

Selangor mencatatkan 10 kes baru yang terdiri daripada lapan kes saringan pulang dari Sabah dan dua kes saringan kontak rapat, iaitu kepada kes ke-10364 dan kes ke-10579.

Pahang pula mencatatkan empat kes baru yang terdiri daripada tiga kes saringan pulang dari Sabah dan satu kes saringan kontak rapat kepada kes ke-10679.

Kuala Lumpur pula mencatat tiga kes baru yang terdiri daripada dua kes daripada kluster baru iaitu, Kluster Setapak dan satu kes saringan pulang dari Sabah.

Selebihnya adalah di Johor (2 kes), Sarawak (2 kes) dan Melaka (1 kes).

Sementara itu, satu kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah korban keseluruhan Covid-19 seramai 134 orang.

Dr Noor Hisham berkata enam pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala empat orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 9,835 kes termasuk 50 hari ini.

Jumlah kes aktif adalah 950 kes, dengan jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang pernah direkodkan kini mencecah 10,919 kes.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS