Tunku Rizal Shahzan, yang disyaki membunuh ibunya, Tengku Puteri Kamariah Sultan Abu Bakar sebelum beliau sendiri meninggal dunia semalam, dilihat suka menyendiri dan dalam keadaan tertekan sejak kebelakangan ini, kata abangnya Tunku Iskandar Zulkarnain.

"Kali terakhir kami berkumpul tiga minggu lalu, dia lebih suka menyendiri dan berdiam diri, dan dia juga sering dilihat seperti dalam keadaan tertekan," katanya ketika ditemui selepas pengebumian ibu dan adiknya di Makam Diraja Pekan di Pekan Selasa.

Dalam kejadian jam 1.20 petang semalam, Tengku Puteri Kamariah ditemui mati dan suaminya Datuk Tunku Ismail Tunku Sulaiman cedera parah dipercayai ditikam oleh Tunku Rizal Shahzan di kediaman mereka di Lorong Kubang Buaya, Kuantan.

Menurut laporan Bernama, Tunku Rizal Shahzan, 21, meninggal dunia pada jam 7.35 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Tunku Ampuan Afzan dipercayai akibat pengambilan dadah berlebihan. Tunku Ismail yang cedera parah masih menerima rawatan di hospital yang sama dan keadaannya dilaporkan stabil.

Ketika ditanya mengenai laporan mengatakan Tunku Rizal Shahzan terbabit dengan penyalahgunaan dadah, Tunku Iskandar Zulkarnain, 40, berkata ahli keluarganya pernah mengesyaki adiknya terbabit dengan gejala itu tetapi tidak mempunyai sebarang bukti.

"Saya menetap di Kuala Lumpur, kali terakhir saya bercakap dengan dia hanya menerusi telefon selepas saya terlihat keretanya di Kuala Lumpur. Saya ingatkan dia berada di sana, rupanya Tunku Rizal Ramadhan yang membawa kereta berkenaan," katanya. Tunku Rizal Ramadhan, 21, adalah adik kembar Tunku Rizal Shahzan.

Mengenai laporan bahawa jiran ibunya yang juga saudara mereka, Tengku Ahmad Faizal Tengku Abdul Hamid, terdengar pesanan ibunya kepada Tunku Rizal Shahzan supaya "belajarlah agama dan kalau nak jual kereta itu, juallah" sebelum meninggal dunia, Tunku Iskandar Zulkarnain berkata beliau belum dapat mengerti maksud allahyarham ibunya itu.

Pertemuan terakhir

Tunku Rizal Ramadhan pula berkata kali terakhir dia bertemu ibu dan abangnya itu ialah pada Jumaat lalu.

"Saya tak tahu menahu," katanya ketika ditanya sama ada abangnya itu terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Beliau bersama-sama abang kembarnya itu belajar di Olympia College, sebuah kolej swasta di Kuantan, sebelum Tunku Rizal Shahzan menyambung pelajaran di Kolej IKIP, Kuantan, dalam bidang perhotelan.

Seorang rakan karib Tunku Rizal Shahzan, Mohd Saifdzul Mohd Nasharuddin, 23, berkata allahyarham seorang yang suka bersendirian dan kelihatan seperti terlalu banyak berfikir.

Katanya Tunku Rizal Shahzan, yang lebih mesra dipanggil "abang", terlalu merindui rakan-rakannya yang hampir kesemuanya telahpun bekerja di Kuala Lumpur.

"Hajat arwah, dia nak kawan-kawan lama dia berkumpul semula seperti dahulu," katanya.

Mohd Saifdzul berkata, Tunku Rizal Shahzan berkelakuan agak ganjil pada kali terakhir mereka bertemu dua minggu lalu apabila allahyarhan memeluknya sambil menangis ketika beliau hendak pulang ke Kuala Lumpur.

'Dia bosan'

"Dia macam tak bagi saya balik ke KL kerana dia kata dia bosan apabila kawan dia tidak ada," katanya.

Mohd Saifdzul, yang mengenali Tunku Rizal Shahzan sejak dari sekolah rendah, berkata beliau tidak percaya dakwaan bahawa allahyarham mengambil dadah.

Teman wanita Tunku Rizal Shahzan, Humairah Ali Badaruddin, 19, pula berkata, allahyarham merupakan seorang yang riang, penyayang dan tidak suka menyusahkan orang lain. Beliau mengenali allahyarham sejak setahun lalu.

Sementara itu, jenazah Tengku Puteri Kamariah selamat dikebumikan di Makam Diraja Pekan. Jenazah anaknya, Tunku Rizal Shahzan turut dikebumikan di situ.

Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah dan isteri Tengku Azizah Aminah Maimunah serta anak-anak Allahyarham, turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Tengku Puteri Kamariah.

Jenazah Tengku Puteri Kamariah, yang dibawa dari kediamannya di Kuantan, tiba di perkarangan makam berkenaan pada jam 10.48 pagi sebelum dikebumikan.

Sultan Pahang yang tiba sebelum itu disambut Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sambil berpelukan.

Tengku Ismail stabil

Selepas selesai bacaan talkin oleh Timbalan Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Othman, Sultan Pahang yang kelihatan tenang kemudiannya menjirus air mawar dan menabur bunga mawar di pusara adindanya, diikuti Tengku Mahkota dan isteri serta Najib dan isteri, dan kemudianya oleh anak-anak allahyarham.

Turut hadir kaum kerabat diraja Pahang, anggota kerajaan negeri serta orang ramai. Selepas majlis pengebumian selesai dan sebelum memasuki kereta, Sultan Pahang berpelukan dengan anak sulung allahyarham Tunku Iskandar Zulkarnain yang kelihatan menangis.

Sejurus selepas semua orang kenamaan meninggalkan majlis, jenazah Tunku Rizal Shahzan dikebumikan di makam yang sama pada 1 tengah hari.

Pengarah HTAA Dr Ardi Awang hari ini berkata keadaan Tunku Ismail kini stabil selepas menjalani pembedahan selama lima jam mulai 4 petang semalam.

"Keadaan Tunku Ismail amat memuaskan hari ini. Beliau sudah boleh bernafas sendiri iaitu tanpa memerlukan alat pertolongan pernafasan lagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selain Tunku Rizal Shahzan, anak-anak Tengku Puteri Kamariah dan Tunku Ismail yang lain ialah Tunku Iskandar Zulkarnain, 40, Tunku Sara, 37, Tunku Diana, 35, Tunku Ennie, 34, Tunku Zaza, 28, Tunku Lizanatalia, 24, dan Tunku Rizal Ramadhan, 21, yang juga adik kembar kepada Tunku Rizal Shahzan.