Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerusi DUN baru - GRS raih paling banyak, Umno pemenang terbesar

PRN SABAH | Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menang sembilan daripada 13 kerusi DUN baru yang pertama kali dipertandingkan dalam PRN minggu lalu.

Keputusan ini bukanlah mengejutkan. Analisis awal Malaysiakini berkenaan keputusan pengundian dalam pilihan raya sebelum ini di daerah-daerah mengundi yang membentuk kawasan DUN baru ini memberikan BN kelebihan di tujuh kerusi.

Umno muncul pemenang terbesar dengan lima kerusi dengan tiga daripadanya - Pantai Dalit, Sungai Manila, and Lamag - memang sudah dijangka.

Parti itu juga menang di Bengkoka, di mana pada PRU 2018 sokongan kepada Warisan dan Umno boleh dikatakan sama rata.

Kali ini, Bengkoka menyaksikan perebutan antara Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan lapan calon lain.

Undi yang diperolehi Umno menurun daripada 40 kepada 32 peratus. Ia boleh dikaitkan dengan langkah sekutunya, PBS yang turut meletakkan calon serta pencapaian baik calon bebas iaitu Maklin Masiau (14.48 peratus) dan Mary E Dumpangol @ Aminah Ambrose (9.21 peratus).

Maklin adalah paderi dan aktivis tempatan di Pitas. Dia dikenali dengan tindakan pihak berkuasa merampas 574 buku dan 419 cakera padat miliknya atas sebab-sebab agama pada 2014.

Aminah Ambrose pula bekas setiausaha sulit Mustapha Harun - ketua menteri Sabah ketiga, bekas Yang di-Pertua Negeri dan bekas presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu.

Suaminya adalah bekas Adun Banggi.

Di Tanjung Keramat, Umno mendapat kemenangan selesa (51.75 peratus undi) walaupun pengundi di sana lebih memilih Warisan pada 2018.

Calon Amanah Rosdy Wasli yang mewakili Warisan Plus di tempat kedua dengan 39.1 peratus undi.

Peralihan sokongan

Bersatu pula menang di dua kerusi DUN baru ini. Ini menunjukkan sokongan yang diraih Umno pada 2018 ada kala boleh berpindah ke parti serpihannya.

Misalnya di Bandau, PRU 2018 menunjukkan lebih 50 peratus pengundi menyokong Umno. Tetapi kali ini, calon Bersatu Wetrom Bahanda menang dengan 69.51 peratus undi.

Wetrom adalah bekas ketua bahagian Umno Kota Marudu sebelum menyertai Bersatu.

Parti itu juga menang di Pintasan walaupun dengan peratusan undi lebih rendah iaitu 33.31 peratus.

Bekas speaker Pandikar Amin Mulia yang mewakili Usno muncul tempat kedua dengan 32.29 peratus undi.

Pergeseran antara sekutu? Tak ada masalah

PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) masing-masing menyumbang satu kerusi baru kepada GRS, iaitu Telupid dan Tulid.

Kemenangan ini boleh dianggap membanggakan memandangkan PBS dan Star turut disaingi calon daripada parti sekutu di sana.

Jika digabungkan, parti GRS mendapat 69.51 peratus undi di Tulid berbanding 23.45 peratus untuk calon Warisan.

Berdasarkan keputusan 2018, dapat dijangka bahawa Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) - yang merupakan komponen BN - mempunyai kelebihan di Tulid. Kali ini parti itu tewas dengan Star tetapi mengatasi jumlah undi Warisan.

Di Telupid, parti-parti GRS mendapat 68.22 peratus undi berbanding Upko dengan 29.51 peratus.

Tulid dan Telupid terletak di pedalaman Sabah dan penduduk utama dari kalangan masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (atau dipanggil KDM).

Di pihak Warisan pula, parti itu dijangka menang di empat kerusi DUN baru iaitu Darau, Limbahau, Segama, and Kukusan.

Bagaimanapun, jumlah undi yang diperolehi di Darau dan Kukusan lebih rendah berbanding pada PRU 2018, membayangkan sokongan terhadapnya di kawasan Kota Kinabalu dan Tawau sedikit menurun.

Perlu dinyatakan calon Warisan, Rina Jainal menang di Kukusan dengan kelebihan hanya 10 undi - majoriti paling kecil bagi PRN Sabah 2020.

 

Lihat Komen
ADS