Akta Profesion Guaman Syarie dicadang digubal bagi memantau profesionalisme dan memelihara hak serta kebajikan peguam syarie di negara ini sepertimana peguambela dan peguamcara mengikut Akta Profesion Undang-undang.

Senator Tajul Urus Mat Zain berkata akta itu juga akan membolehkan Majlis Peguam Syarie ditubuhkan bagi mengawalselia pengeluaran sijil amalan, mengawal selia rekod-rekod peguam, firma dan disiplin peguam.

"Akta ini akan turut membolehkan penyeragaman kaedah penerimaan masuk sebagai peguam syarie yang berbeza di setiap negeri," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Profesion Undang-undang (Pindaan) 2006, pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Menurutnya, kebanyakan undang-undang negeri membenarkan lulusan syariah memohon sebagai peguam syarie, peguambela dan peguamcara manakala ada negeri menyatakan hanya peguambela dan peguamcara layak memohon sebagai peguam syarie.

"Beberapa negeri pula mensyaratkan pemohon memiliki Diploma Lanjutan Syariah dan Amalan Guaman, tetapi sesetengah negeri tidak memerlukan kelayakan itu.

"Prosedur permohonan, kaedah penerimaan masuk, temu duga dan bayaran yuran yang berlainan bagi setiap negeri juga amat melecehkan," katanya.

Menurut laporan Bernama, Tajul Urus berkata ketiadaan akta khusus untuk peguam-peguam syarie di negara ini sebenarnya mencacatkan taraf profesionalisme peguam syarie sehingga masyarakat memandang mereka sebagai peguam kelas kedua.

Peguam Syariah Negara

Senator Mumtaz Md Nawi yang turut menyentuh mengenai peguam syarie di negara ini dalam perbahasannya menyokong cadangan itu dengan turut meminta kerajaan mewujudkan satu jawatan Peguam Syariah Negara.

Beliau berkata peguam syarie juga sepatutnya diberi peluang mentadbir urus badan mereka sendiri bagi menjaga kebajikan dan kepentingan pengamal undang-undang syariah di negara ini.

"Kewujudan satu Akta Peguam Syarie amat diperlukan... jawatan Peguam Syariah Negara juga amat diperlukan bagi tujuan penyeragaman kes-kes yang membabitkan mahkamah syariah dan sivil," katanya.

Sementara itu, Senator Datin Paduka Nor Hayati Onn pula menimbulkan masalah "integriti undang-undang" yang perlu ditekankan dalam usaha memperkasakan undang-undang serta mengangkat kewibawaan penggubal dan imej profesion undang-undang itu sendiri.

"Kita mahukan suatu sistem perundangan yang bertanggungjawab kepada rakyat kerana undang-undang tanpa integriti persis undang-undang tanpa akhlak," katanya.

Beliau berkata integriti undang-undang itu adalah merujuk kepada falsafah undang-undang yang bukan sahaja menekankan aspek proses undang-undang dan pelaksanaannya, malah memberi penekanan kepada tahap akhlak para penggubal, pengamal dan anggota Parlimen yang mempunyai kaitan secara langsung dalam mencorak sistem keadilan negara.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya isu integriti undang-undang dimasukkan dalam agenda Pelan Integriti Nasional. Persidangan dewan disambung Khamis.