Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
260 kes baru, tertinggi sejak Jun
Diterbitkan:  Oct 1, 2020 6:01 PM
Dikemaskini: 11:12 AM

Kes baru Covid-19 setakat jam 12 tengah hari ini adalah sebanyak 260 kes, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jangkitan baru ini merupakan kes harian tertinggi sejak 4 Jun lalu yang mencatatkan 277 kes ketika itu.

"Jika dilihat pada peningkatan kes mutakhir ini ianya tertumpu di dua buah negeri iaitu Sabah dan Kedah.

"Namun kini terdapat juga kes-kes dan kluster-kluster baru yang di kesan di negeri-negeri lain," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sabah terus mencatatkan jangkitan tertinggi dengan 118 kes baru, diikuti Kedah dengan 98 kes, Kuala Lumpur (14 kes) dan Selangor (13 kes).

Ini termasuk empat kluster baru di Selangor, Sabah, Putrajaya dan Kedah.

Sementara itu, sebanyak 31 kes penularan tempatan melibatkan mereka yang pernah ke Sabah.

Dr Noor Hisham juga berkata 20 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi, tiga memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, 47 kes pulih hari ini, jumlah kumulatif pulih melebihi lima angka iaitu 10,014. 

Memperincikan pecahan kes hari ini, Dr Noor Hisham berkata Sabah kekal mencatat kes tertinggi dengan 118 diikuti Kedah (98 kes), Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing 13 kes, Johor dan Putrajaya masing-masing lima kes, Terengganu dan Perlis masing-masing dua kes manakala Melaka, Pahang dan Pulau Pinang masing-masing satu kes.

Bagi kes import, ia melibatkan individu bukan warganegara yang pulang dari United Kingdom di Kuala Lumpur.

Perkembangan kes hari ini ternyata membuahkan kebimbangan kerana ketika negara mencatat kes tertinggi pada 4 Jun, sebanyak 270 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara dari Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil manakala yang membabitkan penularan tempatan hanya empat kes.

"Bilangan kes ketiga tertinggi pula dicatat pada 26 Mac iaitu semasa Perintah Kawalan Pergerakan fasa 1 iaitu sebanyak 235 kes yang terdiri daripada 27 kes import dan 208 kes penularan di dalam negara yang melibatkan 157 kes warganegara Malaysia dan 51 bukan warganegara," katanya.

Justeru katanya, dengan pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah yang akan berkuat kuasa mulai 3 hingga 16 Okt serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah, ia akan membantu mengawal situasi penularan di Negeri Di Bawah Bayu itu.

"Pada masa sama, KKM dan agensi berkaitan akan berusaha sedaya-upaya bagi mengawal penularan Covid-19 di seluruh Malaysia. Kerjasama semua pihak adalah amat-amat diperlukan," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Lihat Komen
ADS