Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS ada ahli bukan Islam, akan terus berperanan di Sabah - Takiyuddin
Diterbitkan:  Oct 1, 2020 8:51 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan hari ini menjelaskan parti itu "akan terus berperanan dalam politik Sabah."

"... atas sikap dan gaya yang bersesuaian selaras dengan kedudukannya sebagai salah satu komponen Perikatan Nasional (PN).

"Selaras dengan itu PAS akan menyokong penuh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai oleh parti-parti BN, PN dan PBS yang diberi mandat mengemudi kerajaan Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September 2020 yang lalu.

"Sayugia ditegaskan bahawa PAS khususnya di Sabah mempunyai ahli-ahli yang terdiri dari kalangan pelbagai etnik dan suku Rakyat Sabah termasuk yang bukan beragama Islam melalui sayapnya, Dewan Himpunan Pendokong PAS (DHPP)," katanya lagi.

Kenyataan Takiyuddin ini dapat menjawab kebimbangan sesetengah pihak mengenai gesaan supaya wakil PAS dibawa masuk ke dalam kabinet Sabah dan menjadi salah seorang Adun lantikan.

Terdahulu, Setiausaha Agung BN Annuar Musa dan Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris, antara yang mengutarakan cadangan itu.

Razali berkata memberikan jawatan kabinet Sabah kepada wakil PAS sebagai "menghargai" keputusan parti itu tidak bertanding pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini pula berkata cadangan berkenaan sebenarnya sudah dipersetujui parti-parti yang ada dalam Gabungan Rakyat Sarawak sebelum ini.

"Sebenarnya perkara ini telah pun dipersetujui oleh semua parti dalam gabungan GRS yang terdiri daripada PN dan BN," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau sendiri menggerakkan lebih 500 petugas PAS bagi membantu kemenangan gabungan tersebut.

Justeru, katanya memang wajarlah PAS diberikan tempat dalam DUN Sabah.

"PAS akan menanti pengumuman rasmi dibuat," katanya.

'Ganggu keharmonian'

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor masih belum menamakan senarai penuh kabinetnya atau enam calon Adun lantikan.

Untuk rekod, berbeza dengan negeri-negeri lain, Sabah mempunyai enam orang Adun lantikan yang memiliki hak mengundi sama seperti Adun yang menang pilihan raya di Dewan Undangan Negeri.

GRS yang menggabungkan PN, BN dan PBS menang PRN Sabah menewaskan Warisan Plus.

Sebelum ini, Adun Kepayan Jannie Lasimbang berpendapat PAS akan mengganggu keharmonian agama dan kaum yang dinikmati rakyat Sabah sekiranya wakil parti itu diberikan jawatan politik.

Beliau menuduh PAS memiliki pandangan dunia yang "ekstrem" dan menjadikan kenyataan kontroversi MP Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh bahawa kitab Injil "dipesong" sebagai contoh.

Lasimbang juga mencabar pemimpin Kadazan Dusun Murut dalam GRS untuk membuat pendirian dalam isu ini.

Lihat Komen
ADS