Pemimpin MCA: Jangan ketepikan isu kebebasan agama
Seorang ahli Parlimen MCA hari ini menggesa kerajaan supaya jangan mengenepikan isu-isu kebebasan beragama di negara ini.
Seorang ahli Parlimen MCA hari ini menggesa kerajaan supaya jangan mengenepikan isu-isu kebebasan beragama di negara ini.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ibupejabat MCA, Ahli Parlimen Kota Melaka, Wong Nai Chee juga menekankan tentang kekurangan kefahaman di kalangan mereka yang membantah penganjuran forum Gabungan Artikel 11.
Dalam memperjelaskan isu tersebut, Wong berkata, pertamanya, hak dalam perlembagaan bagi semua rakyat Malaysia merupakan satu perkara yang mendapat perhatian awam, dan kedua objektif forum tersebut adalah untuk membincangkan perkara mengenai kebebasan beragama dan ia tidak mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia.
"Sebenarnya, ia (forum tersebut) mahu berbincang mengenai kebebasan beragama secara umum dan kesahan agama lain di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh ibupejabat parti itu.
Wong menegaskan demikian sebagai mengulas gesaan Abdullah supaya semua pihak menghentikan perbincangan yang mempertikaikan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sambil menyatakan bahawa kerajaan memahami perasaan orang bukan Islam, Perdana Menteri berkata perbincangan seumpama itu telah mencapai tahap yang membimbangkan.
Kurang sikap tolak ansur
Mengulas bantahan terhadap forum awam anjuran Artikel 11 di Johor Bahru, Wong berkata, ia jelas menunjukkan bahawa sikap tolak ansur dan kefahaman sebenar belum lagi mencapai tahap yang diharapkan.
Pemimpin MCA itu juga menggesa kerajaan supaya meningkatkan lagi kefahaman mengenai isu tersebut di kalangan rakyat.
"Konsensus mengenai isu-isu agama di kalangan orang awam hanya boleh dicapai dengan adanya debat awam yang dijalankan secara rasional," katanya.
Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai Perpaduan Nasional digunakan sebagai wadah untuk membincangkan isu berkenaan.
Ketika mengulas gesaan Perdana Menteri itu, Wong berkata MCA memahami sepenuhnya keadaan yang mendorong Abdullah dan kerajaan mencapai keputusan tersebut.
Beliau berkata, partinya juga memahami perhatian berat kerajaan untuk mengelak berlakunya ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

