Malaysiakini
BERITA

Agong berangkat pulang dari IJN

Bernama

Diterbitkan

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat pulang ke Istana Negara selepas menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 21 Sept lepas.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata keberangkatan pulang Seri Paduka pada 12.40 tengah hari, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Alhamdulillah, Seri Paduka Baginda telah beransur pulih. Atas nasihat pakar perubatan IJN, Seri Paduka Baginda akan berehat di Istana Negara,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurut Ahmad Fadil, Al-Sultan Abdullah turut berangkat menunaikan solat Jumaat sejurus tiba di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong dimasukkan ke IJN pada 21 Sept untuk menjalani rawatan keracunan makanan dan rawatan intervensi susulan pengimejan MRI pada 22 Sept, menunjukkan kecederaan dialami oleh Al-Sultan Abdullah, yang dimaklumi aktif bersukan.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.