Penembak tepat dan anjing pengesan dan beratus anggota polis ditugaskan berkawal hari ini menunggu ketibaan Setiausaha Negara Amerika Condoleezza Rice untuk menghadiri Forum Rantau Asean (ARF).

Selain Amerika, sepuluh negara anggota Asean memulakan mesyuarat Mesyuarat Pasca Peringkat Menteri Luar (PMC) dan ARF dengan lima lagi rakan dialognya Australia, New Zealand, Kanada, Rusia, Kesatuan Eropah (EU).

Pada masa yang sama, tunjuk perasaan membantah serangan ganas Israel terhadap Lebanon dan Gaza, turut menunggu ketibaan Rice berhampiran tempat persidangan tersebut di sebelah Menara Berkembar Petronas.

Parti pembangkang, PAS juga akan menganjurkan tunjuk perasaan yang sama di majis berhampiran selepas sembahyang Jumaat esok.

Bagaimanapun, ketua pengawal polis di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, Penguasa Abdul Haddi Itam, berkata, anggotanya bersiap sedia untuk menghadapi sebarang gangguan dan kekacauan.

Beliau memberitahu AFP, pihaknya sudah mendapat maklumat mengenai perkara tersebut.

Rice yang sebelum ini menghadiri mesyuarat tergempar mengenai konflik Timur Tengah di Rome, tiba di Kuala Lumpur hari ini untuk menghadiri ARF anjuran Asean esok.

Jet khas Tentera Udara Amerika Syarikat yang membawa beliau, tiba di Lapangan terbang Subang, dekat sini, kira-kira jam 2.30 petang.

Rice yang berkunjung ke Malaysia buat pertama kali, disambut oleh pegawai-pegawai Kementerian Luar.

Beliau diiringi oleh Setiausaha Agung Kesatuan Eropah Dr Javier Solana dan Menteri Luar Kanada Peter Mackey.

Manakala Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov juga dijangka tiba di Kuala Lumpur bersama Ketua Bahagian Dasar Luar Kesatuan Eropah, Javier Solana dan Menteri Luar Korea Utara Paek Nam-Sun.

Dalam kawalan

Abdul Haddi berkata seramai 600 anggota telah ditempatkan di pusat persidangan tersebut.

"(Keselamatan) adalah terkawal. Kita mempunyai anggota yang mencukupi untuk mengawal pusat persidangan dan berdepan dengan sebarang kemungkinan," katanya.

Abdul Haddi berkata, pihaknya telahpun mengadakan sesi taklimat ringkas dengan pengawal keselamatan Rice dan semua langkah perlu telah diambil untuk memastikan keselamatan para tetamu.

"Contohnya, kami juga mempunyai skuad pemusnah bom serta mengadakan rondaan dari udara," kata Abdul Haddi.

Penembak tepat pula diletakkan di tempat strategik manakala anjing pengesan digunakan untuk mengesan bahan letupan.

Menurut laporan akhbar, mereka ditempatkan di jambatan yang menjadi laluan kereta kalis peluru yang membawa Rice dari lapangan terbang.

Pelan tindakan

Sementara itu, Bernama melaporkan, mesyuarat tersebut akan dihadiri oleh menteri luar dari kedua belah pihak serta Setiausaha agung Asean Ong Keng Yong.

Rice juga akan menandatangani Dokumen Rangka Kerja untuk Pelan Tindakan bagi melaksanakan Perkongsian Meningkatkan Asean-AS.

Rice kemudian akan mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Asean di Bangunan Parlimen.

Abdullah akan juga menerima kunjungan hormat semua menteri luar rakan dialog dan ARF di tempat yang sama hari ini. Mesyuarat pegawai pertahanan ARF akan bermula selepas makan tengah hari.

Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar akan menjadi hos jamuan makan malam gala di sebuah hotel untuk semua menteri luar dan perwakilan pada mesyuarat Asean dan yang berkaitan dengannya.