Kerajaan tidak akan menaikkan harga gula pada masa ini kerana ia boleh menyebabkan harga barangan lain juga turut naik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, kerajaan perlu berhati-hati untuk mengambil apa-apa tindakan yang berhubungkait dengan kenaikan harga gula memandangkan banyak barang lain turut menggunakan bahan itu.

Menurut laporan Bernama, Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan sambutan Hari Pengguna 2006 di Stadium Putra Bukit Jalil.

Sebelum itu, dalam ucapannya beliau menyifatkan kegiatan penyeludupan barangan, termasuk gula dan minyak, oleh peniaga dan pengusaha yang tidak bertanggungjawab, sebagai satu "perbuatan jenayah yang anti-rakyat dan anti-pengguna."

"Peniaga dan pengusaha yang hanya mahu keuntungan tetapi tidak mengambil kira kepentingan rakyat, tidak diperlukan," katanya.

Oleh itu, beliau menyeru pengguna supaya memberi maklumat agar tindakan dapat diambil.

Kawal harga barang

Perdana Menteri berkata, pengguna yang bijak akan memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menjual barangan dengan harga yang tinggi.

Abdullah memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan harga barangan dan perkhidmatan di negara ini tetap murah walaupun setelah Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

"Kerajaan akan terus mengawasi keadaan inflasi dalam negara agar tidak membebankan rakyat," katanya.

Abdullah berkata harga pakaian dan barangan, kos pengangkutan, bayaran perkhidmatan komunikasi, kos perumahan, pendidikan dan rawatan perubatan hendaklah mampu ditanggung oleh rakyat.

Bagaimanapun, katanya, rakyat perlu bijak agar tidak berbelanja secara keterlaluan selain sentiasa peka dengan harga barangan semasa.