Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRN Sarawak ‘bila-bila masa dari sekarang’- Abang Johari
Diterbitkan:  Oct 4, 2020 11:43 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abang Johari Openg membayangkan bahawa negeri Sarawak bakal mengadakan pilihan raya negeri “bila-bila masa dari sekarang”.

Abang Johari yang juga merupakan ketua menteri negeri itu memberitahu perwakilan partinya setelah melengkapkan tiga pusingan bagi konvensyen PBB.

"Saya ingin menyampaikan mesej bahawa gendang akan dipalu. Kayu sudah disediakan gendang juga sudah disediakan.

"Apabila gendang dipalu dengan kayu bila-bila masa sahaja dari sekarang, kita mesti keluar untuk mempertahankan PBB dan GPS dalam pilihan raya," katanya seperti dipetil portal Malay Mail semalam.

Konvensyen keempat bakal diadakan pada 25 Okt di Kuching, menjelang pembentangan belanjawan kerajaan Sarawak bagi tahun 2021.

Selain itu, dipetik portal Borneo Post, Timbalan Presiden PBB Dr Annuar Rapaee berkata, konvensyen itu bukan sahaja memberi peluang kepada pemimpin parti untuk mengadakan pertemuan dan merangka strategi.

Malah, katanya, ia juga bagi mengadakan sesi ‘latihan’ buat perwakilan parti untuk belajar menyebarkan maklumat berhubung pembangunan di Sarawak dan mempersiapkan mereka bagi pilihan raya negeri (PRN).

PRN Sarawak ke-19 bakal menyaksikan PBB bertanding buat pertama kali tanpa menggunakan logo BN. PBB telah menjadi kerajaan pimpinan negeri itu sejak 1974, sebagai parti dominan buat BN Sarawak.

Pada 2018, PBB meninggalkan pakatan BN dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan bekas pakatan BN, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (Supp).

Ketika ini, PBB menguasai pentadbiran negeri dengan 47 kerusi dari keseluruhan 87 kerusi, diikuti dengan PRS (11), Supp (7) dan PDP (3).

Parti pembangkang utama di Sarawak adalah Parti Sarawak Bersatu (PSB) dengan enam kerusi dan DAP dengan lima kerusi.

Berdasarkan ucapan Johari pada konvensyen PBB di Betong dan Sibu, GPS dijangka akan menggunakan kejayaannya dalam menuntut Petronas membayar cukai jualan berjumlah RM2 bilion tahun lalu sebagai bahan kempen partinya.

Untuk rekod, Reuters melaporkan ketua pegawai eksekutif (CEO) Petronas, Wan Zulkiflee Wan Ariffin meletak jawatan selepas tidak setuju dengan perdana menteri, Muhyiddin Yassin berhubung bayaran tambahan hasil minyak kepada Sarawak.

Sementara itu, Johari berkata pihaknya juga menjangkakan perkembangan berhubung usaha negeri itu untuk mendapatkan kembali kuasa eksplorasi minyak dan gas pertengahan bulan ini.

Abang Johari juga menjanjikan autonomi yang lebih besar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 untuk menambah baik pendidikan serta meningkatkan kegunaan bahasa Inggeris dengan menubuhkan lima sekolah antarabangsa.

Tambahnya, pelajar yang berkebolehan akan dimasukkan ke sekolah tersebut dan dijanjikan biasiswa sekiranya diterima di universiti antarabangsa.


Lihat Komen
ADS