Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nube gesa kembalikan moratarium pinjaman
Diterbitkan:  Oct 4, 2020 1:58 PM
Dikemaskini: 7:56 AM

Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (Nube) menggesa kerajaan supaya mengembalikan moratorium pinjaman.

Nube berpendapat moratorium bersasar yang dilaksanakan sekarang tidak menangani kesulitan kewangan rakyat sepenuhnya dalam mengharungi cabaran susulan wabak Covid-19.

Setiausaha Agungnya J Solomon berkata, tinjauan yang telah dilakukan anggotanya mendapati, walaupun sebahagian besar mereka tetap bekerja, ramai mempunyai anggota keluarga yang diberhentikan kerja atau gaji mereka dikurangkan.

“Situasi ini bukan sahaja melibatkan ahli Nube tetapi juga ratusan ribu keluarga berpendapatan rendah di seluruh negara.

“Kehilangan pekerjaan atau pemotongan gaji walau seorang ahli keluarga menjejaskan pendapatan seluruh isi keluarga dan memberi tekanan tambahan terhadap kemampuan mereka untuk membayar pinjaman perumahan, kenderaan dan pinjaman peribadi oleh bank,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Susulan itu, Nube mencadangkan supaya moratorium keseluruhan yang merangkumi pinjaman rumah, kereta dan peribadi turut diberikan buat keluarga B40 dan M40 dilanjutkan lagi selama tiga bulan.

Pihak itu turut menggesa kerajaan supaya menyemak semula polisi terbabit bersesuaian keadaan ekonomi dan pasaran pekerjaan susulan amaran dari pakar Bank Pembangunan Asia yang menyifatkan keadaan negara yang kini gawat selepas peningkatan mendadak Covid-19.

“Cadangan kami untuk memperkenalkan semula moratorium pinjaman keseluruhan tidak akan membawa sebarang kerugian kepada pihak bank kerana ia hanya membabitkan penangguhan pembayaran dan bukan pelupusan pinjaman itu,” katanya lagi.

Tambahnya, kesukaran yang dialami ramai pihak termasuk ahli perniagaan untuk membayar pinjaman turut akan meningkatkan masalah pinjaman tidak berbayar (NPL).

“Kesukaran ini boleh memburukkan masalah pinjaman tidak berbayar (NPL) yang boleh mencetuskan krisis perbankan,” katanya lagi.

Pada 25 Mac, kerajaan mengumumkan enam bulan moratorium terhadap pinjaman kewangan. Bagaimanapun skim tersebut telah tamat tempoh pada 30 Sept lalu.

Namun mereka yang kehilangan kerja yang mahu membuat lanjutan pinjaman sehingga 31 Dis boleh memohon diberi pertimbangan.

Dalam kenyataan berasingan, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) turut menyuarakan gesaan sama.

Presidennya Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, menerusi lanjutan moratorium itu, ia bakal memberi masa buat ekonomi dipulihkan semula.

“Menerusi pelanjutan moratorium ini, setidaknya ia akan memberi masa untuk aktiviti ekonomi rakyat dipulihkan semula di samping sesuai untuk menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang berleluasanya Covid-19 di negara ini.

“Tindakan moratorium ini seharusnya dijadikan imbalan kepada teladan serta pengorbanan yang ditunjukkan rakyat yang sedaya upaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan menerusi perintah kawalan pergerakan (PKP) walaupun ia memberikan kesan kepada mata pencarian mereka dan aktiviti sosio-ekonomi harian mereka,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS