Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kawasan di Penjara Alor Setar dikenakan PKPDB mulai esok
Diterbitkan:  Oct 4, 2020 3:33 PM
Dikemaskini: 8:07 AM

Putrajaya mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) Secara Pentadbiran yang akan dikenakan ke atas Penjara Alor Setar di Kedah.

Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media hari ini memaklumkan bahawa keputusan itu diambil setelah Kementerian Kesihatan mengesahkan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan itu.

Sekatan itu akan dikenakan selama 14 hari mulai 5 Oktober, melibatkan kawasan dalam penjara dan di sekitarnya.

Sepanjang tempoh itu, sebarang pergerakan keluar dan masuk melibatkan kawasan berkenaan termasuk lawatan oleh keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

Daripada 317 jangkitan baru yang dicatatkan semalam, Kedah mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi dengan 102 jangkitan baru, termasuk dua pesakit yang pulang dari Sabah.

Daripada jumlah itu, 97 kes baru di Kedah yang dilaporkan semalam melibatkan Kluster Tembok di penjara berkenaan.

Sementara itu, Ismail berkata polis semalam menahan 433 individu kerana melanggar PKPD, dengan 60 daripadanya ditahan reman, 28 dibebaskan dengan jaminan dan 345 dikenakan denda.

Dari segi kawalan sempadan, operasi pelbagai agensi yang sedang berlangsung berjaya menahan 76 pendatang tanpa dokumen dan seorang individu yang terlibat menyeludup pendatang asing tanpa dokumen.

Daripada jumlah itu, 27 ditemui tanpa dokumen sah ketika cuba meninggalkan Malaysia melalui laluan haram berhampiran Desaru, Johor.

Kes Covid-19 Malaysia meningkat dengan jumlah jangkitan tiga digit setiap hari, sehingga mencatatkan rekod kes harian tertinggi sejak bermulanya wabak awal tahun ini.

Lihat Komen
ADS