Tiada maklumat Indonesia serah ahli KMM: Bukit Aman
Polis Malaysia belum lagi dapat mengesahkan bahawa anggota Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Zid Saharani Mohamad Esa, yang ditangkap oleh polis Indonesia akan di hantar pulang untuk diserahkan kepada pihak berkuasa negara ini.
Menurut jurucakap Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, ASP Shamsudin Ali, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat daripada polis Indonesia mengenai perkara itu.
"Setakat ini pihak kami tidak dapat mengesahkan perkara ini dan masih belum menerima apa-apa maklumat mengenai penghantaran balik daripada polis Indonesia," katanya ketika dihubungi malaysiakini , petang tadi.
Menurut laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini, Zid Saharani dijangka tiba di negara ini esok, dengan diiringi polis Indonesia.
Empat lagi dicari
"Menurut sumber, dia yang ditangkap bersama 12 rakyat Indonesia akan disiasat oleh pihak berkuasa Malaysia berhubung dengan kegiatan KMM di negara ini," laporan itu dipetik.
Zid Saharani yang ditangkap September lalu, didakwa adalah rakan Taufik Abd Halim yang ditangkap polis Indonesia selepas cuba mengebom pusat membeli-belah Atrium di Jakarta, pada awal Ogos lepas.
Polis sebelum ini pernah menyiarkan gambar Zid Saharani bersama empat orang lagi yang dikehendaki bagi siasatan beberapa kes jenayah termasuk serangan ke atas balai polis di Kedah.
Empat lagi yang dicari ialah Zulkifli @ Musa Abd Hir, Mohd Rafi Udin, Abdus Samad Abud @Kiai Abu Bakar Bashir, dan Hambali @ Nurjaman @ Riduan Isamuddin.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.