Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahdzir kuarantin, tak dapat hadir bicara kes Rosmah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid tidak dapat hadir ke perbicaraan membabitkan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram memberitahu Mahdzir sedang menjalani tempoh kuarantin sehingga 12 Oktober.

Perkara itu dimaklumkan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Mahdzir yang merupakan salah seorang saksi dalam perbicaraan itu sepatutnya hadir di mahkamah hari ini untuk memberi keterangan semula.

Bagaimanapun, Gopal meminta supaya Mahdzir hadir pada 13 Oktober, jam 2 petang.

Rosmah Mansor

Mahdzir merupakan antara pemimpin politik yang terlibat dalam kempen pilihan raya negeri Sabah.

Dia menjalani ujian saringan Covid-19 untuk kali ketiga pada 7 Okt selepas pulang berkempen dari PRN Sabah baru-baru ini

Dilaporkan sebelum ini bahawa beberapa ahli politik yang mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya di Sabah positif Covid-19, termasuk calon BN Pitas, Sufian Abd Karim dan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.

Sementara beberapa pemimpin politik lain menjalani kuarantin kendiri sebagai langkah mengelakkan penularan Covid-19.

Perbicaraan hari ini kemudian diteruskan dengan keterangan dari saksi pendakwaan seterusnya iaitu dari pegawai penyiasat Suruhanjaya Pemcegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Untuk rekod, pada Ogos lalu, bekas rakan perniagaan Jepak Holdings Sdn Bhd (Jepak) Rayyan Radzwill Abdullah yang juga bekas pendakwaan ke-16 mendakwa Mahdzir ingin mendapatkan "habuan" RM60 juta daripada syarikat itu atas kelulusan projek solar hibrid untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 bilion, ketika menyandang jawatan sebagai menteri pendidikan.

Bagaimanapun, keterangan itu bertentangan dengan penafian Mahdzir ketika memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah terhadap isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor sebelum ini.

Pegawai penyiasat kes tersebut, Noornabilah Mohd Aziman membacakan pernyataan saksi bertulis di hadapan hakim hari ini.

Perbicaraan disambung 9 pagi esok.

Lihat Komen
ADS