Kira-kira 150 orang memenuhi Auditorium Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) Selasa lalu untuk menyambut ulangtahun pertama edisi bahasa Cina malaysiakini .

Mereka terdiri daripada pembaca, pendidik Cina, para pemimpin politik, pelajar serta para pemimpin pertubuhan Cina. Mereka berpeluang melihat persembahan multimedia mengenai laporan ekslusif serta laporan penting yang disiarkan oleh edisi tersebut sejak dimulakan pada 25 Julai 2005.

Dalam ucapannya, Editor edisi Cina malaysiakini, Yong Kai Ping berkata, beliau dan pasukannya berpegang kepada pendirian bahawa tidak perlu mensensasi sesuatu isu semata-mata untuk mencari populariti.

"Ketika internet dan perkhidmatan SMS semakin popular, maka semakin berkurangannya 'censorship' terhadap media. Media online perlu menjadi model ikutan, dengan menyediakan ruang yang rasional dan objektif bagi memuatkan pelbagai suara masyarakat," tambahnya.

Manakala Ser Choon Ing, Pengerusi Jawatankuasa Hak Awam KLSCAH , yang menjadi penganjur bersama majlis tersebut, memuji malaysiakini kerana tabah berdepan dengan pelbagai cabaran dalam melaksanakan tangggungjawabnya.

Dialog antara kaum

Ketua Pegawai Eksekutif malaysiakini, Premesh Chandran pula memberitahu para hadirin mengenai pengalaman dan rancangan masa depan malaysiakini.

Katanya, malaysiakini mahu muncul sebagai sebuah syarikat media yang menyediakan berita serta pendapat/rencana dalam pelbagai bahasa di samping perkhidmatan internet yang lain.

"Kita akan melancarkan Saluran TV Internet Asean yang pertama Asia 247 tidak lama lagi," katanya.

Mengenai edisi bahasa Cina, Premesh berkata, selain menyiarkan isu-isu mengenai agama dan kaum, ia juga membantu mewujudkan dialog antara kaum di negara ini.

Menurutnya, malaysiakini dilawati oleh purata 70,000 pembaca dengan 700,000 layaran setiap hari. Edisi bahasa Cina itu dimulakan pada 25 Julai tahun lalu dan mempunyai 20,000 pembaca dengan 100,000 layaran sehari.

Turut hadir ialah Ketua Pengarang malaysiakini, Steven Gan, tokoh perniagaan serta pemimpin masyarakat Cina Tan Sri Ngan Ching Wen, kolumnis malaysiakini , Lee Ban Chen dan Yang Bai Yang serta pensyarah pengajian media Kolej New Era, Por Heong Hong.

Yang turut melancarkan buku barunya bertajuk Tian Xia Tai Ping (Semuanya belum lagi reda). Buku tersebut merupakan kompilasi artikelnya yang disiarkan oleh malaysiakini.