Gabungan Anti-Perang Malaysia tidak pernah membuat permohonan untuk mendapatkan permit polis bagi mengadakan demonstrasi mengutuk serangan Israel dengan sokongan Amerika di Timur Tengah.

Sebaliknya, menurut pihak penganjurnya, pihak polis yang menawarkan permit kepada mereka untuk mengadakan demonstrasi tersebut.

Demonstrasi selama 90 minit itu diadakan di luar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Setiausaha Negara Amerika kini berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Forum Rantau Asean (ARF).

"Kami tidak memohon sebarang permit. Pihak polis yang memanggil kami pagi ini dan memaklumkan yang mereka mahu memberi kami permit itu," kata ahli jawatankuasa penganjur, Yap Swee Sweng ketika ditemui.

Syarat-syarat permit itu menyebut mereka dibenarkan mengadakan demonstrasi di depan pusat konvensyen tersebut di mana para pemimpin Asean sedang bermesyuarat, dengan syarat mereka tidak membuat kenyataan yang berbau fitnah dan hasutan.

Rice dijadual menghadiri majlis menandatangani Dokumen Rangka Kerja untuk Pelan Tindakan bagi melaksanakan Perkongsian Meningkatkan Asean-AS petang ini.

Pada jam 2 petang, kira-kira 100 orang mengadakan tunjuk perasaan, yang terdiri daripada wakil parti pembangkang dan badan bukan kerajaan yang berarak dari kawasan berhampiran Menara Berkembar Petronas hingga ke pusat konvensyen tersebut.

Mereka turut membawa pelekat yang berbunyi 'Berambus Rice' dan 'Bush seorang pengganas'. Manakala sepanduknya pula berbunyai 'Bush kepala pengganas', 'Penjenayah perang Kondy berambus', 'Jahanam dengan Zionis dan Israel', 'Hentikan FTA' dan 'Amerika negara pengganas'.

Kira-kira 50 anggota polis, termasuk dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang diketuai oleh Ketua Polis Dang Wangi, Kamal Pasha Jamal mengawasi demonstrasi tersebut.

Sikap tidak peduli

Sementara itu, para pemimpin pembangkang, dalam ucapan mereka, mengecam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana membenarkan Rice melawat Malaysia.

"Biarkan ditegas di sini bahawa kita menentang apa juga bentuk keganasan, dan kita juga menentang negara yang menaja keganasan, sepertimana yang dilakukan oleh Israel dan Amerika," kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Ketua Muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmood pula berkata, tidak ramai yang menyertai demonstrasi tersebut dan ia mencerminkan sikap tidak peduli rakyat Malaysia terhadap apa yang berlaku.

Pada kira-kira jam 3.45 petang, selepas Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar enggan menerima memorandum mengutuk Rice, tiga anggota gabungan tersebut meletakkan memorandum tersebut di atas laluan utama menuju ke pintu utama pusat konvensyen tersebut.

Mereka bersorak mengejek apabila dimaklumkan Syed Hamid enggan menerima memorandum tersebut. Mereka kemudian beredar secara aman.

Budi bicara ketua polis

Mengulas lanjut mengenai pemberian permit tersebut, Yap berkata ia mencerminkan pendirian kerajaan dalam isu tersebut dan pihak polis pula tidak boleh mengamalkan sikap dwi-standard selepas membenarkan Pemuda Umno mengadakan bantahan yang sama minggu lalu.

"Pihak polis tidak sepatutnya bersikap memilih dalam mengeluarkan permit bagi mengadakan perhimpunan secara aman, apatalah dengan mebuat tangkapan. Setiap rakyat mempunyak hak kebebasan untuk berhimpun," tambah aktivis tersebut.

Ketika ditemui kemudiannya, Kamal berkata beliau mengeluarkan permit tersebut atas budi bicaranya dan menegaskan bahawa beliau tidak mengamalkan dwi-standard.

"Saya berpandangan yang ini merupakan satu perhimpunan aman. Ini adalah sesuatu yang dunia mesti terima," katanya apabila ditanya mengapa polis bertindak keras terhadap demonstrasi lain yang diadakan di tempat yang sama sebelum ini.

Menurutnya, permit yang sama juga telah dikeluarkan bagi perhimpunan bantahan yang sama oleh Pemuda Umno dan PAS masing-masing di Menara Berkembar Petronas dan Masjid Kampung Baru selepas sembahyang Jumaat esok.

Ditanya sama ada pihak polis akan membenar bantahan terhadap kenaikan harga minyak dan kadar elektrik yang dijadual diadakan Sabtu ini, Kamal menjawab: "Kita perlu meneliti sama ada ianya menjejaskan keselamatan negara dan sama ada mereka akan bertindak melampaui batasan." Berita asal