Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Ekonomi gig dan pasaran ‘freelancing’

Dalam proses pemulihan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP), terdapat keperluan bagi pekerja ekonomi gig untuk memanfaatkan insentif yang diperuntukkan buat mereka.

Idea untuk giat mempromosikan ekonomi ini tercetus daripada statistik yang menunjukkan bahawa 26 peratus daripada tenaga buruh di Malaysia disumbang oleh ekonomi gig yang sedang berkembang - bersamaan dengan empat juta pekerja bebas (freelancer).

Dari segi pertumbuhan, ekonomi gig berkembang 31 peratus pada tahun 2017, mengalahkan tenaga buruh konvensional.

Ekonomi gig didefinisikan secara meluas sebagai “ekonomi platform”, “ekonomi atas permintaan” dan “ekonomi bersama” yang merujuk kepada permintaan dan penawaran perkhidmatan jangka masa pendek atau berdasarkan tugas.

Sejak beberapa tahun lalu, bilangan orang yang menyertai ekonomi gig untuk mencari pendapatan sampingan atau bekerja secara sepenuh masa semakin meningkat.

Menurut Timbalan Dekan Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia Mohamad Fazli, pekerjaan sambilan dan freelancing sudah lama wujud dengan kemudahan teknologi masa kini.

Perkembangan ekonomi gig juga didorong oleh fleksibiliti masa bekerja. Konsep pejabat untuk mereka boleh sahaja di mana-mana.

Kebebasan untuk memilih jenis kerja dan pendapatan juga boleh jadi lebih lumayan daripada pekerjaan tetap.

Memandangkan sekarang ini kerja jarak jauh sudah menjadi norma baharu dan gaya kerja pilihan, sumbangan pekerja ekonomi gig kepada tenaga buruh boleh meningkat lebih daripada 26 peratus.

Bahkan sebelum Covid-19, kaji selidik Zurich Insurance menunjukkan terdapat 38 peratus pekerja sepenuh masa di Malaysia sedang mempertimbangkan untuk menceburkan diri dalam ekonomi gig dalam masa 12 bulan.

Angka ini lebih tinggi daripada purata global sebanyak 20 peratus.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gigworks, Glenn Tay, pekerjaan freelancing akan terus berkembang pesat kerana sebahagian besar tenaga buruh terdiri daripada generasi muda yang celik teknologi.

Dan keutamaan mereka mungkin lebih cenderung kepada keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.

Trend ekonomi gig di negara-negara lain juga meningkat disebabkan oleh transformasi tenaga kerja.

Indeks Ekonomi Gig Global

Berdasarkan Indeks Ekonomi Gig Global, Amerika Syarikat menduduki tempat pertama di antara 10 pasaran freelancing yang berkembang pesat dengan pertumbuhan hasil sebanyak 78 peratus, diikuti United Kingdom di tempat kedua (59 peratus) manakala di Asia, Filipina menduduki tempat keenam (35 peratus) dan seterusnya India (29 peratus).

Jadi, persepsi positif pada ekonomi gig perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat di Malaysia, lebih-lebih lagi apabila pekerjaan gig boleh dilakukan di mana-mana dengan memanfaatkan kemudahan teknologi.

Di Malaysia, berita baiknya adalah kerajaan sudah mula mengambil berat terhadap ekonomi gig dengan memberikan lebih insentif yang melibatkan kebajikan pekerja melalui pakej rangsangan ekonomi.

Contohnya, dalam pakej Penjana, geran padanan berjumlah RM50 juta diperuntukkan bagi platform ekonomi gig untuk mencarum pekerjanya bawah Skim Bencana Pekerjaan Perkeso dan Skim i-Saraan KWSP.

Dan sejumlah RM25 juta diperuntukkan kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (Glow).

Malangnya, insentif-insentif ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh pekerja ekonomi gig.

Menurut Tengku Zafrul, hanya 2,847 pekerja ekonomi gig yang mendaftar dengan Perkeso sehingga 11 September (0.95 peratus).

Ia masih jauh daripada sasaran 300,000 pekerja.

Selain itu, pelancaran program Penjana Kementerian Pengajian Tinggi-Career Advancement Programme (Penjana KPT-CAP) boleh membantu meningkatkan keupayaan freelancing bagi graduan yang berminat menyertai ekonomi gig.

Program KPT-CAP ini penting untuk mendidik golongan anak muda kerana ekonomi gig juga memerlukan kepakaran tertentu.

Sekiranya hal ini tidak ditangani dengan baik, pekerja freelancing mungkin akan dibayar rendah ataupun tidak dibayar langsung, walaupun mereka bekerja secara berlebihan.

Menurut PayPal, 58 peratus pekerja freelancing di beberapa buah negara Asia Tenggara melalui pengalaman tidak dibayar gaji kerana mereka tidak diambil serius oleh pelanggan.

Oleh itu, hal-hal seperti ini harus diambil serius dan insentif yang sudah sedia ada perlu dimanfaatkan sebaiknya.

Badan-badan kerajaan yang terlibat harus memantau keberkesanan insentif dan tahap kesedaran di kalangan kumpulan sasar secara proaktif supaya manfaatnya sampai kepada mereka.

Walaupun ekonomi gig mempunyai beberapa kelemahan, peningkatan dalam sumbangannya kepada ekonomi negara perlu dihargai.


SOFEA AZAHAR merupakan penganalisis penyelidik di Emir Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan terperinci, konsisten dan menyeluruh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS