Pak Lah marah Dr M disembur pemedih mata
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kesal dan amat marah dengan insiden bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disembur sejenis bahan pemedih mata di Kota Bahru pagi ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kesal dan amat marah dengan insiden bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad disembur sejenis bahan pemedih mata di Kota Bahru pagi ini.
Sehubungan itu, beliau mengarahkan polis segera menyiasat kejadian itu dan mengambil tindakan keras terhadap mereka yang bertanggungjawab.
"Saya merasa kesal dan amat marah kerana perkara seumpama ini telah berlaku," kata Perdana Menteri.
Abdullah yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri memberitahu Bernama beliau dimaklumkan tentang kejadian itu oleh pihak polis.
"Saya telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan supaya segera menyiasat kejadian itu serta mengambil tindakan keras terhadap pihak yang melakukannya," katanya.
Dr Mahathir, yang tiba pagi ini untuk lawatan sehari ke Kelantan, tidak dapat berucap kepada orang ramai yang menyambut ketibaannya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, setelah disembur sejenis bahan pemedih mata oleh orang yang tidak dikenali.
Hukuman berat
Dr Mahathir kelihatan terbatuk-batuk semasa hendak memulakan ucapannya menggunakan pembesar suara dari dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang bumbungnya terbuka pada kira-kira pukul 11 pagi.
Pada masa itu lebih 1,000 orang berada di situ untuk menyambut beliau dan mendengar ucapannya.
Abdullah berkata pihak yang melakukan perbuatan itu mesti dikenakan hukuman berat.
Beliau menjelaskan perkara itu mesti ditangani segera bagi mengelak ia daripada menimbulkan kesan buruk dan pelbagai andaian negatif di kalangan orang ramai.
Perdana Menteri khuatir pihak-pihak tertentu akan mengambil kesempatan daripada insiden itu untuk menyebarkan khabar angin, terutama melalui Internet.
"Jadi polis mesti cepat tangani isu ini dengan mengambil tindakan segera dan keras," kata Abdullah.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.