Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Covid-19 merebak lepas ziarah saudara baru balik dari Sabah
Diterbitkan:  Oct 8, 2020 10:34 AM
Dikemaskini: 2:34 AM

COVID-19 | Gara-gara lawatan ziarah sanak-saudara di rumah seorang individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah, kini satu kluster baru tercetus di Selangor dan Perak.

Menurut exco Selangor, Ng Sze Han, kluster Bah Puchong yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam membabitkan individu di Puchong yang baru-baru ini baru pulang dari Sabah.

“Dia sedang menjalani kuarantin di rumah, tetapi sanak-saudaranya dari Perak datang melawat dan tinggal bersama, lalu mereka juga jadi positif.

“Semua (yang disahkan) positif kini ditempatkan di hospital, dan semua kontak telah dapat dikesan,” kata Ng dalam satu hantaran Facebook semalam.

Ng juga meyakinkan orang ramai bahawa kluster itu bukanlah bermaksud satu jangkitan serius sedang berlaku di Puchong.

Kerajaan mewajibkan semua orang yang pulang dari Sabah antara 27 Sept hingga 10 Okt ini menjalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin kendiri sehingga mendapat keputusan ujian.

Mereka yang didapati negatif tidak diwajibkan untuk meneruskan kuarantin, namun sangat digalakkan untuk menghabiskan tempoh kuarantin 14 hari.

Pengumuman kluster baru itu dibuat memandangkan berlakunya jangkitan Covid-19 dalam komuniti yang berleluasa.

Semalam, KKM mengumumkan kluster Bah Puchong membabitkan daerah Petaling di Selangor; Larut, Matang dan Selama serta Kinta di Perak.

Katanya, kes indeks kluster berkenaan (Kes 13061, 13065, dan 13069) disahkan positif pada 5 Okt, semasa ujian saringan ke atas mereka yang pulang dari Sabah.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua lagi kes positif Covid-19 di Perak iaitu di daerah Larut, Matang dan Selama serta daerah Kinta dikenal pasti,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Setakat tengah hari semalam, 39 orang telah disaring dalam kluster berkenaan dengan 12 di Selangor dan 27 di Perak.

Selain daripada lima kes yang disahkan positif, yang lain masih menunggu keputusan.

 

Lihat Komen
ADS