Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim turut menegur syarikat korporat yang "kedekut" untuk mengeluarkan duit bagi memasang bendera di premis mereka untuk menyambut kemerdekaan negara.

Katanya golongan "kaya" di ibu negara itu yang enggan mengibarkan Jalur Gemilang untuk menyambut tarikh keramat, 31 Ogos.

Menurut Bernama, beliau berharap perkara itu tidak berulang lagi kerana ibu negara akan dijadikan contoh untuk semarakkan semangat patriotik di kalangan bandar dan pekan lain sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-49.

"Kami ingin pergi ke pagar mereka dan tanya kenapa. Sampai perkara itu kami sanggup buat, dengan hormat Datuk atan Tan Sri mengapa tidak mahu mengibarkan bendera," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Kemerdekaan di Kuala Lumpur hari ini.

"Mereka ini sudah buat banyak duit di negara ini tetapi langsung tidak menghargainya," katanya.

Jalur gemilang

Rais juga berharap penduduk di kampung dan Felda turut tidak ketinggalan menunjukkan semangat patriotik mereka tahun ini dengan memacak bendera Jalur Gemilang di balai raya, rumah penghulu dan rumah masing-masing.

Sambutan Bulan Kemerdekaan akan dilancarkan di Kuala Terengganu pada 18 Ogos oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada jam 9 malam.

Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak berserta menteri-menteri Kabinet akan turut hadir pada majlis yang akan diadakan penuh warna-warni dengan perarakan kapal-kapal berhias dan hiburan.

Sementara sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos akan diadakan di Kuching dengan melibatkan 14,700 peserta tidak termasuk anggota badan beruniform, katanya.