Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini membalas sindirian Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali di media sosial Facebooknya.

Lim berkata, dia tidak berminat untuk menyentuh tentang menteri PAS itu dan menyifatkan Khairuddin sebagai rasis kerana hanya menyasarkan dirinya dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

"Masuk mahkamah dahululah baru sembang. Sebenarnya saya tak minat sama kamu pun. Mengapa pula hanya sebut nama saya dan Teresa Kok?

"Sedangkan ramai yang mendesak kamu didakwa di mahkamah, termasuk kawan kamu sendiri. Jangan berpura-pura tak dengar pula. Mengapa rasis sangat hanya sebut saya dan Teresa semata-mata kerana kami Cina?

"Apa yang kami nak ialah apa yang rakyat nak, iaitu menteri tak kuarantin dihukum macam kerajaan hukum makcik 'gelang pink'," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Terdahulu, Khairuddin dalam satu tulisan di Facebooknya berkata yang dia terbaca "celoteh uncle Lim Guang Eng".

Khairuddin meminta bekas ketua menteri Pulau Pinang itu memikirkan kes rasuah yang dihadapinya di mahkamah berbanding memperkatakan tentangnya.

"Saya tahu dia dan Teresa sangat berminat dengan saya. Saya rasa baik uncle letakkan tangan di dahi fikirkan kes rasuah di mahkamah yang beliau hadapi sekarang.

"Kes rasuah banglo yang digugurkan oleh rakan baik beliau yang jadi peguam negara sekejap tu tak payah sebut la sebab semua orang dah tahu cuma biasalah kawan-kawan uncle akan diamkan sahaja kerana dia kan macam 'tokong'," tulis Khairuddin.

Semalam, bekas perdana menteri Najib Razak turut menggesa supaya Khairuddin didakwa di mahkamah.

Kata Najib, ia bagi memuaskan hati rakyat dan bagi memastikan isu itu tidak dijadikan senjata oleh pihak lawan untuk menyerang kerajaan.

Sementara itu Lim berkata, apa yang dia mahukan adalah keadilan dalam pelaksaan undang-undang tanpa ada pilih bulu.

"Keadilan dan kesaksamaan undang-undang. Tidak lebih tidak kurang.

"Jangan Menteri dah buat antara dua darjat, tak kuarantin macam rakyat biasa, tak dihukum macam rakyat biasa kini pula nak melepas geram pun antara dua darjat, hanya sebut saya dan Teresa Kok.

"Cukuplah YB menteri. Insaflah, rakyat sedang memerhati," kata Lim.